KUALA LUMPUR, 30 Sept – Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan berlangsung pada 29 November sehingga 3 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian perhimpunan agung UMNO pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malamnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
*****
“Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini juga memutuskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi yang memangku tugas-tugas timbalan presiden akan merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri pada malam tersebut.“Perhimpunan Agung UMNO akan bermula pada 1 Disember dan seperti kelazimannya pada malam tersebut akan diadakan jamuan makan malam presiden dan persidangan akan berlangsung sehingga 3 Disember ini,” ujarnya.
Najib turut memberitahu mesyuarat MT hari ini juga mahu supaya parti itu merumuskan cadangan balas kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Katanya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menyelaraskan perkara tersebut di peringkat negeri dan bahagian untuk dikemukakan kepada pihak SPR nanti.
Selain itu, katanya anggota MT juga memberikan beberapa pandangan dan cadangan berkenaan Bajet 2017, namun ia akan mengambil kira kemampuan kewangan negara. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment