Páginas

Tuesday 25 October 2016

SUK Tidak Terlibat Dialog `Halatuju Pembangunan Terengganu Pasca PRU14'

Noraini Jusoh  Sunday, October 23, 2016

 Wan Nawawi ketika sidang media menafikan penglibatan Dialog Halatuju Pembangunan Terengganu Pasca PRU-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Zulkifli Putra
*****
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail menafikan dakwaan penglibatan beliau dalam dialog ‘Halatuju Pembangunan Terengganu Pasca PRU14’ yang dijadualkan berlangsung di Hotel Primula pada 29 oktober ini sepertimana diviralkan dalam media sosial sejak Khamis lalu.


Wan Nawawi terkejut dan merasa hairan bagaimana namanya boleh dikaitkan antara seorang daripada tiga panel dialog berkenaan, sedangkan beliau tidak pernah menyatakan sebarang persetujuan kepada pihak penganjur (NGO Minda Baru Terengganu) bagi menyertai program itu.

“Saya agak terperanjat apabila melihat bagaimana gambar saya boleh terpampang pada poster tersebut. Saya terus berurusan dengan pegawai-pegawai saya sekiranya ada permohonan atau perbincangan yang dibuat oleh pihak penganjur berkaitan dialog ini dan ternyata ianya tidak ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media penafian dakwaan isu dialog ‘Halatuju Pembangunan Terengganu Pasca PRU14’ di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Tegasnya lagi, tindakan pihak tertentu melibatkan nama beliau dalam dialog ini dilihat sebagai satu tindakan keterlaluan kerana ianya tanpa rujukan serta rundingan dan secara tidak langsung boleh mencemarkan imej Pejabat SUK.

“Saya memandang berat isu ini kerana ianya melibatkan saya secara peribadi dan juga institusi SUK.

“Jadi saya merasakan perlu respon kepada perkara ini dan telah membuat ‘posting’ dalam akaun peribadi laman sosial ‘Facebook’ bagi menafikan perkara ini dan mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempolitik saya dan institusi SUK,” ujarnya.

Sebagai SUK, beliau juga melarang keras kakitangan terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan impikasi buruk kepada pihak kerajaan.

“Saya melarang keras kakitangan saya apatah lagi saya sendiri untuk terlibat secara langsung dalam apa-apa seminar, forum dan seumpamanya yang menggambarkan kita berada dalam forum politik kerana kita seharusnya bersikap neutral sepanjang masa,” ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta pihak berkenaan menarik balik atau membuat hebahan secara umum dengan segera menafikan dakwaan tentang penglibatan beliau dalam dialog itu.

“Sekiranya saya mendapati nama saya, atau institusi SUK Terengganu dilibatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendatangkan keburukan dan implikasi yang tidak baik, tindakan sewajarnya akan diambil,” ujarnya.

teganukita.net/MJ

No comments:

Post a Comment