Páginas

Tuesday, 10 October 2017

Bot Penambang Makin Cantik, Jadi Tarikan Penumpang

Aminudin Ismail | Tuesday, October 10, 2017


Beberapa pemilik bot penambang Seberang Takir, Kuala Nerus yang mendapat peruntukan membaik pulih bot berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana bantuan itu membolehkan mereka memulih dan
menambah baik pengangkutan air yang menjadi sumber utama rezeki masing-masing itu.

Rata-rata yang ditemui Teganukita gembira dan bersyukur kerana bot masing-masing yang dahulu uzur, malah ada yang rosak  kini sudah berubah wajah, kelihatan cantik serta dilengkapi beberapa kemudahan baharu.

Seorang pemilik bot, Hashim Ibrahim, 58 dari Kampung Seberang Takir mengakui tanpa bantuan itu dia tentunya tidak mampu membaik pulih botnya kerana kos peralatan masa kini yang begitu mahal

"Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan kerana perihatin dengan kami kerana menghulurkan bantuan yang agak banyak itu.

"Bot saya memang sudah lama dan uzur serta mengalami beberapa kerosakan kerana usia hampir 50 tahun.

"Dengan siapnya bot ini, saya mengharapkan jumlah penumpang akan bertambah terutamanya pelancong selain penduduk Seberang Takir, " katanya yang mula terbabit dengan pekerjaan itu sejak berusia belasan tahun.

Seorang lagi pemilik bot,  Mohd Abd Wahab dari Kampung Jeram berkata, botnya kini berubah wajah dan kelihatan kemas serta menarik.

"Jika nak baiki dan ubah suai sendiri memang saya tidak mampu kerana kosnya yang mahal tetapi dengan bantuan ini segalanya berubah dan saya semakin bersemangat untuk meneruskan pekerjaan ini, terima kasih kerajaan,"  katanya yang membeli bot itu lebih 20 tahun lalu.

Manakala seorang lagi yang ditemui Teganukita, Harun Ismail, 66 dari Teluk Ketapang juga berpuashati dengan keadaan botnya itu.

"Terima kasihlah kepada kerajaan atas bantuan itu dan program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Bot Penambang Terengganu,  Latif Yusof berkata,  semua 18 pengusaha bot yang mendapat bantuan membaik pulih bot berjumlah RM600,000 itu berpuas hati dengan keadaan bot masing-masing.

"Mereka boleh membaiki semula kerosakan jika ada dalam tempoh satu tahun dari tempoh penyerahan," katanya.

Dalam pada itu,  Ketua Setiausaha Pelancongan Terengganu,  Khairul Azhan Mohd Yusof berkata, dengan keadaan bot yang selamat dan menarik itu diharap dapat menarik minat lebih ramai mengunakanya terutamanya pelancong.

"Usaha ini adalah cetusan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita (Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman) sendiri selepas mendengar rungutan dan rintihan pengusaha bot penambang itu.

"Kesan daripada ini, kita yakin semakin ramai akan menjadi pengusaha dan ini secara tidak langsung akan memeriahkan lagi industri pelancongan di Terengganu," katanya.

Pada akhir tahun lalu, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan kira-kira RM600,000 bagi membaiki dan menambah baik bot penambang termasuk dari sistem pencahayaan serta papan tanda sempena Tahun Melawat Terengganu.

Sebanyak 20 bot penambang ditambah baik menerusi empat fasa, yang melibatkan lima bot setiap fasa dengan setiap bot mendapat bantuan RM30,000.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment