16 Disember 2014
Muhammad Pehimi sempat bertanya khabar Azian ketika menziarahi
keluarga mangsa, semalam.
*****
BESUT – Isteri kepada pegawai tentera darat, Leftenan Kolonel Zahari Mustaffa tidak menyangka kepulangan suami untuk menziarahinya yang tidak sihat sejak lebih dua minggu lalu, merupakan pertemuan mereka yang terakhir.Dalam kejadian petang kelmarin, Zahari maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas di Kilometer 341.3 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Felda Kertih 2, Dungun.
Azian Anuar berkata, suaminya yang bertugas sebagai pegawai pendidikan di Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK), di sini, pulang bercuti ke rumah mereka di Sri Rampai, Kuala Lumpur, sejak seminggu lalu.
Katanya, Allahyarham pulang untuk menjenguknya yang tidak sihat memandangkan mereka tinggal berasingan kerana dia masih bertugas sebagai guru di Kuala Lumpur.
“Biasanya jika sampai di Gong Kedak, suami akan menghubungi saya, tetapi tidak semalam (kelmarin), sedangkan masa kejadian sepatutnya arwah sudah sampai di Gong Kedak selepas dia keluar tengah hari.
“Saya tahu mengenai kejadian selepas menghubungi suami pada jam 7 malam (kelmarin). Orang lain angkat telefon itu dan beritahu suami terlibat dalam kemalangan dan tidak sedarkan diri. Saya juga sempat beritahu agar dia hubungi PUGK kerana semua maklumat ada di situ.
"Tidak lama kemudian, saya dihubungi pihak tentera yang memaklumkan suami sudah meninggal di tempat kejadian selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sendiri,” katanya yang tiba di kampung halaman suaminya di Kampung Kubang Bemban, Jertih, di sini, pagi semalam.
Menurut Azian, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah sifatnya masih lemah lembut dan penyayang seperti kebiasaan.
"Saya reda walaupun saya yang uzur, tetapi arwah suami terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi,” katanya,
Sementara itu, selepas bedah siasat di Hospital Dungun, jenazah mangsa dibawa ke Masjid PUGK terlebih dahulu sebelum dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Bemban.
Jenazah selamat disemadikan di tanah perkuburan kampung berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, berdekatan kubur ayah dan ibunya.
Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata berusia 5 hingga 19 tahun.
Turut hadir pada majlis pengebumian semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Adun Jertih, Muhammad Pehimi Yusof; Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman dan Komandan PUGK, Brigedier Jeneral Zahani Zainal Abidin.
Sinar
No comments:
Post a Comment