Páginas

Wednesday, 31 December 2014

Operasi Banjir Di Kemaman ‘Gold Standard’ – PM

Author: Mohd Syazni Zainudin | 31 December 2014



Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak memuji tindakan diambil oleh penyelarasan banjir di daerah Kemaman sebagai menepati operasi banjir ‘Gold Standard’.
Beliau berkata ‘Gold Standard’ itu merupakan satu tahap yang tertinggi dalam piawaian menguruskan banjir bagi memastikan setiap pengurusan berjalan dengan lancar.

“Ini dapat dilihat sejak dari mesyuarat pra-banjir pada bulan April lagi dan beberapa perkara tambahan seperti tempat mendarat, helipad tiga buah dan 30 pencawang TM Exchange dinaikkan supaya tak kena pada air, genset tambahan dan kemudahan-kemudahan lain sehinggalah beg tidur yang diedarkan pada semua pihak.

“Nampaknya semua menjurus kepada pentadbiran banjir yang amat berkesan. Saya mencadangkan supaya model contoh dicipta supaya diguna pakai di tempat lain,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di sini hari ini.

Najib tiba hari ini dalam satu lawatan seharinya di Kemaman bagi melihat sendiri keadaan banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok dan Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Beliau diiringi Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhamad Pehimi Yusof serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Namun demikian, beliau turut menjelaskan bahawa struktur muka bumi dan keadaan Kemaman yang menyebabkan daerah itu paling teruk terjejas akibat daripada banjir.

“Kemaman ini keadaan di mana tiga tahun berturut-turut kerana kedudukan Kemaman ini (berada di tepi sungai) dan limpahan (air) daripada sungai menyebabkan air di Kemaman ini naik lebih pantas pada tahap yang tinggi dan menyebabkan ramai lebih kurang 36 ribu mangsa banjir yang terpaksa berpindah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib juga akan mengkaji mengenai tebatan banjir bagi menghalang dari kejadian banjir terus berulang setiap tahun di kawasan yang seringkali terjadinya bencana tersebut.

“Perkara ini kita akan kaji dengan lebih dalam dan buat pertimbangan selanjutnya.

“Sekarang kita hanya perlu tunggu laporan dari jabatan-jabatan berkenaan dan masa yang paling awal adalah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 nanti,” ujarnya.

Tambahnya, dengan berlakunya banjir di beberapa negeri secara serius kali ini, keperluan projek tebatan banjir perlu diberi keutamaan.


Teganukita

No comments:

Post a Comment