Páginas

Monday 29 December 2014

Tabung Bantuan Banjir Pemuda UMNO Dilancar

Oleh: Fauzi Mohd | 27 December 2014


Pemuda UMNO melancarkan Tabung Bantuan Banjir khusus untuk keperluan mangsa banjir selepas air surut.
Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Dato’ Mohamad Sahfri Ab. Aziz berkata sumbangan akan digunakan untuk pembinaan semula rumah yang dihanyutkan arus banjir, membaiki kerosakan struktur bangunan, serta membekalkan keperluan asas seperti barangan dapur dan peralatan sekolah.

“Orang ramai atau syarikat korporat yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Pemuda UMNO Malaysia nombor 14200004057058 atau cek atas nama Pemuda UMNO Malaysia,” katanya semalam.

Beliau berkata tabung juga akan diletakkan di tempat awam seperti pasar raya, surau dan masjid untuk kemudahan orang ramai menderma selain mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan mangsa banjir.

Katanya setakat ini pihaknya telah menerima sejumlah RM60,000 daripada dua buah syarikat iaitu Tune Talk dan NAZA Group yang masing-masing menyumbangkan sebanyak RM30,000.

Mohamad Sahfri berkata Pemuda UMNO juga akan menggerakkan sukarelawan ke negeri-negeri dilanda banjir bagi memberikan khidmat kesihatan dan menyalurkan bekalan makanan mulai esok.

“Sukarelawan itu termasuk lima orang doktor perubatan dari Biro Profesional Pemuda dan Malaysian Doctors Club (MDC) yang telah ditugaskan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan, membekalkan makanan serta keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Mereka diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang akan bertolak ke Maran dan Kuala Lipis, Pahang esok kerana banjir di sana mulai surut,” katanya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak dapat memasuki negeri-negeri yang dilanda banjir serius seperti Kelantan dan Terengganu dan akan menggerakkan jentera sukarelawan ke sana selepas air surut.

Katanya pasukan sukarelawan Pemuda UMNO lebih tertumpu kepada pasca banjir, iaitu selepas air surut seperti usaha pembersihan, gotong-royong pembinaan semula dan penyaluran keperluan asas kepada mangsa -mangsa terlibat.

“Kami juga akan mengarahkan jentera sukarelawan di peringkat negeri sehingga ke bahagian untuk turun ke padang membantu kerja-kerja pembersihan dan pembaikan selepas air surut,” katanya.


Teganukita

No comments:

Post a Comment