Páginas

Friday 15 September 2017

300 Peserta Meriahkan Program Berakit Merdeka Selusuri Sungai Terengganu

Tengku Nor Shahida Tengku Abd Rasid | Thursday, September 14, 2017

Deretan rakit yang dihias indah dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri sempena Program Berakit Merdeka Menyusuri Sungai Terengganu, di Dataran Pulau Warisan. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kasim
*****
Seramai 300 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh daerah menyertai Program Berakit Merdeka Menyusuri Sungai Terengganu 2017, hari ini.

Peserta yang menaiki 30 buah rakit yang dihias hasil kreativiti masing-masing, berlumba bermula di jeti Muzium Negeri dan berakhir di Pulau Warisan, Kuala Terengganu dengan jarak 4.59 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud dalam ucapannya berkata, hasil pemuafakatan dan penjanaan idea yang bernas sempena hari kebangsaan itu, pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi membentuk komuniti yang baik dan positif selain melahirkan masyarakat yang bersikap patriotik serta sayangkan negara.


“Program ini adalah julung kali diadakan di negeri ini hasil kerjasama Unit Kesihatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri serta Kelab Sukan Negeri Terengganu.

“Program seperti ini dapat mengeratkan hubungan diantara peserta di samping meraikan bulan kemerdekaan Malaysia yang ke-60. Bagi saya, program ini cukup tepat dalam usaha kita untuk memeriahkan lagi sambutan bulan kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini,”katanya di Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Program Berakit Merdeka Menyusuri Sungai Terengganu, di Dataran Pulau Warisan, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Mohd Syukri Ibrahim, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri, Burhanuddin Daud serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Zuhami Omar.


Bagi pemenang rakit kategori jabatan kerajaan diungguli Majlis Daerah Hulu Teregganu (RM1,000), tempat kedua Majlis Daerah Kemaman (RM600)dan tempat ketiga SUK Kerajaan Tempatan (RM500). Manakala pemenang rakit bagi kategori NGO, tempat pertama Mix Ibai, tempat kedua Mix Marang, manakala ketiga, KRT Pulau Sekati yang membawa pulang jumlah wang tunai yang sama .
Untuk kategori rakit berhias pula, tempat pertama dimenangi oleh Pejabat Tanah Daerah Dungun, sementara kedua Kumpulan Trackers dan ketiga Majlis Daerah Besut.


Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment