Páginas

Thursday 7 September 2017

523 Pemandu Teksi Di Terengganu Terima Bantuan Tayar

Suriati Ali | Tuesday, September 05, 2017


Kerajaan negeri mengagihkan  RM262,000 melalui Program Tayar Percuma kepada 523 pemandu teksi yang berdaftar di seluruh Terengganu.

Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, melalui program itu, setiap pemandu teksi yang aktif layak menerima RM500 bertujuan membantu golongan itu menukar tayar rosak bagi menjamin keselamatan penumpang dan pelawat sempena Visit Beautiful Terengganu.


Katanya, bantuan tayar percuma  hasil permohonan yang dikemukakan Persatuan Teksi Negeri Terengganu menerusi Lab Bajet anjuran Unit Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu tahun lalu.


"Sebagai permulaan, kerajaan bersetuju mengagihkan lebih RM73,000 kepada 147 ahli Persatuan Pemandu Teksi Stesen Jerteh dan Persatuan Pemandu Teksi Kuala Besut pada hari ini.

"Bantuan seumpamanya akan diteruskan ke daerah-daerah lain dengan nilaian sama rata untuk setiap pemandu teksi, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Terengganu dan Pekan Budaya Besut, di Gong Kemuntong, Jertih, Besut, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan & Komoditi Negeri, Dato' Muhammad Pehimi Yusof dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Dato' Wan Zakaria Abdul Rahman.

Pada majlis itu, lima penerima di kalangan petani, penternak dan peladang dan satu pertubuhan mendapat anugerah khas di atas kecemerlangan perusahaan masing- masing.

Penerima berkenaan adalah Tengku Ahmad Azuddin Tengku Mohamad, Lukmanul Hakim Dzulkafli, Muhammad Nazmi Yusof, Wan Norshiha Wan Embong, Muhd Hafezzudin Mamat dan Pertubuhan Peladang Kawasan Gerai.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment