Páginas

Friday, 15 September 2017

Beberapa Pihak Pohon Jadi Pengendali Kemudahan Pelancongan Di Tasik Kenyir

Aida Abd Rahman | Thursday, September 14, 2017

Menteri Besar bersama kenamaan lain melancarkan Festival Kenyir 2017, di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
*****
Kerajaan negeri sedang menimbang permohonan daripada beberapa pihak sebagai pengendali kemudahan pelancongan di Tasik Kenyir termasuk hotel dan Taman Tema Air, di Pulau Poh.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya menilai tawaran yang mampu diberikan dan memilih yang terbaik bagi melancarkan operasi dan pengurusan di pusat peranginan itu nanti.


“Jika tawaran mereka sesuai dengan kehendak,  kita tiada masalah untuk menimbangkannya dan dapat bersama-sama memastikan kemudahan yang ada di Tasik Kenyir mampu menjadi katalis bagi menarik minat pelancong ke pusat pelancongan ini,”katanya.


Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Festival Kenyir 2017, di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail.

Menurut Menteri Besar, hotel yang baru dibangunkan dengan kos RM100 juta dilengkapi 150 bilik itu dijangka siap dalam tempoh 13 bulan lagi.

Tambahnya, kemudahan penginapan setinggi lapan tingkap yang turut dilengkapi 1,000 lot parkir itu bakal siap sepenuhnya menjelang hujung 2018 bagi memenuhi keperluan pelancong yang semakin bertambah.

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai prasarana dan kemudahan baharu akan dibangunkan kerajaan negeri bersama Ketengah di Tasik Kenyir yang merangkumi Pengkalan Gawi , Pulau Bayas dan juga Pulau Poh dalam masa terdekat ini.

“Selain pulau bebas cukai di Pengkalan Gawi, kerajaan negeri menyerahkan kepada TTITC (Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu) supaya dapat membuat reka bentuk membangunkan kiosk di kawasan ini dengan bercirikan tradisional dan signifikan dengan Tasik Kenyir,”katanya.

Ahmad Razif berkata, pihaknya turut mengenal pasti satu lokasi yang sesuai di Pulau Bayas untuk mewujudkan `night market’ atau pasar malam eksklusif bagi memberi peluang peniaga tempatan memasarkan produk tempatan mereka kepada pelawat.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga mahu supaya hospitaliti kepada pelancong dititik beratkan dalam usaha menarik lebih ramai pelawat ke tasik berkenaan dan juga pusat pelancongan di Terengganu keseluruhannya.


“Kita mahu supaya `frontliner’ dihantar menjalani kursus untuk melayani dan berinteraksi dengan pelanggan sebagaimana yang pernah dilaksanakan oleh T-TAS (Skim Latihan Perantisan Pelancongan Terengganu) sebelum ini, kepada pengusaha restoran dan kedai makan.

"Selain infra dan kemudahan, kita juga mahu menekankan layanan kepada pelanggan kerana kita mahu supaya pelawat merasakan mereka mahu datang lagi dan mengulangi kunjungan ke Terengganu hasil layanan dan aspek hospitaliti yang terbaik itu,'' katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment