Páginas

Tuesday, 4 November 2014

KUT`14 Diharap Temui Formula Pastikan PRU14 Milik BN

Oleh: Aida Abd Rahman | 30 October 2014

 Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Wan Abdul Hakim (tengah) ketika sidang akhbar KUT`14, di Hotel Primula Beach, hari ini. Foto oleh Hasmizi Hamid.
*****
Konvensyen UMNO Terengganu 2014 (KUT`14) yang bertemakan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) diharap akan dapat menemui formula dan mengupas isu bagi memastikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan UMNO Perhubungan Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata KUT`14 nanti akan lebih memfokuskan kepada transformasi menerusi gerak kerja dan pendekatan yang baharu, berbanding cara yang terdahulu kerana terbukti gagal memberi impak yang baik kepada parti pada PRU13 lalu.

“Kita perlukan cara kerja dan pendekatan yang baru. Yang sebelum ini tidak memberi hasil apabila pada PRU sebelum ini pembangkang ada lapan kerusi (PRU12) sehingga meningkat kepada 15 kerusi, iaitu pertambahan tujuh kerusi lagi (PRU13), bermakna ini signal daripada rakyat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan perlu diperbetulkan segera.

“Kita masih menang, tetapi untuk PRU14 kita tidak boleh melakukan cara dahulu kerana itu pada kali ini kita tekankan transformasi dan kita memerlukan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena sidang media Konvensyen UMNO Terengganu 2014, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, hari ini.

Wan Abdul Hakim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KUT `14 berkata, pendekatan TTB yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif ketika 100 hari pentadbiran yang lalu, juga merangkumi tiga bidang utama, iaitu  transformasi ekonomi, politik dan kerajaan.

“Jadi  Konvensyen UMNO Terengganu 2014 pada kali ini khusus untuk membincangkan transformasi politik sejajar dengan apa yang cuba dipraktikkan menerusi pendekatan TTB itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, KUT`14  akan menjadi platform bagi mengenalpasti setiap kelemahan yang boleh membantu  Terengganu untuk memenangi PRU14, sekali gus menawan semula kerusi yang jatuh di tangan pembangkang pada PRU lalu.

“Sebab itulah kita berharap satu formula dan rumusan yang baik akan dapat diketengahkan dalam konvensyen itu nanti supaya menjadi rujukan dan boleh digunapakai oleh semua ahli parti dan pemimpin politik,” katanya.

Konvensyen UMNO Terengganu 2014 (KUT`14) yang bertemakan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) bakal diadakan pada 1 November ini (Sabtu) buat julung kalinya menampilkan dua pemimpin tertinggi UMNO Malaysia.

Dua pemimpin berkenaan, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal merasmikan konvensyen pada jam 3 petang, sementara Naib Presiden UMNO,  Dato’ Seri Hishamuddin Hussein selaku bapa angkat UMNO Terengganu pula menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu.

Teganukite

No comments:

Post a Comment