Páginas

Tuesday 18 November 2014

Terengganu Perintis Wujud Pasarnita


Oleh: Aida Abd Rahman | 15 November 2014
Terengganu muncul negeri perintis mewujudkan tapak jualan kekal Pasarnita khusus kepada usahawan wanita yang baharu berkecimpung dalam perniagaan untuk menjana ekonomi masing-masing.
Inisiatif yang disarankan oleh Pejabat Penasihat Pembangunan dan Ikhtisas Wanita Pejabat Perdana Menteri itu sebagai langkah membela nasib golongan hawa di seluruh negeri.


Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, lokasi yang bersesuaian akan dikenalpasti kelak bagi membolehkan tapak jualan kekal Pasarnita itu beroperasi tidak lama lagi di negeri ini.

“Sebagai kerajaan yang peka dan mengutamakan kebajikan serta keperluan rakyat, sudah tentu kita akan terus membantu memberi sokongan kepada golongan sasar ini termasuk mewujudkan pasarnita sebagaimana saranan Dato’ Seri Shahrizat.

“Kita akan melihat di mana tempat yang paling strategik untuk merealisasikan hasrat ini. Malah kerajaan negeri akan menawarkan sewa yang paling minimum kepada usahawan yang terlibat dan sekiranya mereka daripada kategori kurang berkemampuan kita mungkin akan berikan tapak secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skuad An-Nur dan Juwita peringkat negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu,hari ini.

Turut hadir, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil merangkap Amirah Skuad An-Nur Kebangsaan.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kewujudan Pasarnita yang khusus untuk wanita di Terengganu itu secara tidak langsung dapat memperkasakan usahawan di negeri ini lebih-lebih wanita di sini cukup sinonim dengan bakat serta keistimewaan dalam dunia perniagaan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri menerusi Menteri Besar apabila bersetuju mempertimbangkan satu tempat khas untuk Pasarnita dan saya percaya pengumuman beliau ini amat dihargai oleh ramai peniaga wanita,”katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak kerajaan negeri lain akan tampil mengikut jejak langkah Terengganu yang proaktif bagi memberi peluang kepada usahawan wanita memasarkan produk masing-masing dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Teganukita

No comments:

Post a Comment