UMNO Terengganu akan menghayati ilmu perperangan Rasulullah SAW yang
sarat dengan pengajaran sebagai satu usaha tersusun bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tiga buah buku terbitan Institut Perkembangan Minda (Inmind) akan diguna pakai dalam memastikan kesiapsiagaan pemimpin UMNO di semua peringkat menghadapi pelbagai cabaran.
Tiga buka tersebut ialah Manual Aplikasi Seni Peperangan Rasulullah SAW Untuk Pengurusan Organisasi, Kaedah-Kaedah Membuat Keputusan Secara Islam dan Manual Penyelidikan Secara Islam.
Beliau berkata, buku itu akan digunakan pakai Biro Latihan UMNO Negeri di bawah pimpinan Dato’ Din Adam yang turut menekankan strategi kepimpinan melalui teladan.
“Untuk berjaya, perlu ada perubahan dan transformasi dari segi gaya berfikir dan sebagainya. Mereka (ahli UMNO) perlu sentiasa ditegur dan diingatkan agar keluar dari zon selesa,” katanya.
Beliau berkata demikin ketika berucap pada Majlis Konvensyen UMNO Terengganu yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.
Jelas Ahmad Razif, UMNO negeri akan terus melipatgandakan usaha bagi menghadapi PRU-14 yang dijangka lebih getir dalam tempoh hingga empat tahun lagi.
Menurut laporan Bernama, buku Manual Aplikasi Seni Peperangan Rasulullah SAW Untuk Pengurusan Organisasi tulisan Aidit Ghazali, Ahmad Syahir Sarani dan Izhan Hamidi Ibrahim mengutarakan penelitian seni pemikiran dan strategi 28 peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW.
Buku Kaedah-Kaedah Membuat Keputusan Secara Islam tulisan Aidit Ghazali, Ahmad Syahir Sarani dan Mohd Affendi Othman pula menampilkan 250 kaedah yang berorientasikan prinsip dan pertimbangan Islam dalam membuat keputusan.
Buku Manual Penyelidikan Islam yang ditulis oleh Aidit Ghazali dan Ahmad Syahir Sarani mengandungi langkah-langkah untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan yang berkesan menurut perspektif Islam.
Teganukite
No comments:
Post a Comment