Páginas

Tuesday, 10 June 2014

JKKK dinilai berstatus bintang



Oleh Tengku Fauziah Ngah
utusanterengganu@utusan.com.my
MARANG 4 Jun - Kerajaan negeri akan memperkenalkan penarafan bintang untuk mengukur prestasi Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) dalam usaha memastikan ia memberikan perkhidmatan berkesan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia akan menjadi penunjuk prestasi utama (KPI) mereka dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kerana sikap dan tindak-tanduk mereka akan turut mencerminkan imej kerajaan negeri.
Kita akan pastikan JKKK benar-benar faham tanggungjawab sebenar dan dan berperanan mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah JKKK Daerah Marang di Dewan Maj­lis Daerah, Kampung Paya, Marang kelmarin.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang; Pegawai Daerah, Mat Arshad Mohamad dan Pegawai-Pegawai Khas Menteri Besar, Nik Dir Nik Wan Ku serta Saiful Bahari Baharuddin.
Katanya, semua JKKK akan diberi penerangan tentang tugas mereka melalui siri kursus khas yang akan diadakan selepas selesai proses pelantikan.
Jika JKKK ini diberi penarafan satu bintang, ini dikira lemah dan mungkin akan diambil tindakan termasuk menukar kepimpinan, kerana kita mahu setiap JKKK meraih sekurang-kurangnya tiga bintang," katanya.
Beliau berkata, JKKK yang meraih lima bintang pula akan menerima pengiktirafan kerajaan negeri dengan insentif tertentu.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri akan terus membantu beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang melalui beberapa Pegawai Pembangunan Parlimen yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut beliau, ketika ini pelantikan beberapa Pegawai Pembangunan Parlimen sudah memadai dan jawatan Pegawai Pembangunan DUN tidak akan diwujudkan semula.
Di peringkat DUN yang kita kalah, Pengerusi Penyelaras UMNO DUN yang dilantik oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian akan memainkan peranan untuk membantu rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment