Páginas

Sunday 22 June 2014

Tempoh 6 bulan sebelum warta zon larangan merokok

 Muhammad Pehimi Yusof bersama Mohd. Jusoh (kiri) melihat produk yang membahayakan kesihatan ketika melawat gerai pameran pada majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat negeri di Kuala Terengganu, kelmarin. - MINGGUAN/Shaifudin Mohd. Nor
*****
KUALA TERENGGANU 21 Jun - Kerajaan negeri menetapkan tempoh percubaan selama enam bulan bermula semalam sebelum mewartakan sepenuhnya kawasan rekreasi Batu Burok dan sekitarnya iaitu dalam lingkungan hampir satu kilometer persegi sebagai zon larangan merokok.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, jika pelaksanaan itu mendapat sambutan yang baik, maka, ia akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain di negeri ini khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan awam.

"Kita harap, dalam jangka enam bulan ini, orang ramai termasuk pengusaha-pengusaha makanan dan sebagainya dapat menerima pewartaan ini dengan baik.

"Justeru, untuk tempoh itu juga, pihak-pihak yang berkenaan termasuklah Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan bekerjasama untuk mendirikan papan tanda di lokasi-lokasi yang berkenaan, membuat hebahan di akhbar-akhbar dan sebagainya dalam usaha memaklumkan perkara kepada orang ramai dengan lebih jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia dan Pelancaran Ke Arah Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) peringkat negeri di Taman Rekreasi Batu Burok di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Mohd. Jusoh; Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Dr. Mohamad Omar; Pegawai Kesihatan daerah yang juga pengerusi jawatankuasa sambutan, Dr. Azmani Wahab; Pengerusi Kelab Rekreasi Taman Awam Batu Burok (Kertab), Datuk Hashim Mamat serta beberapa kenamaan lain.

Turut diadakan bersempena sambutan berkenaan termasuklah acara senamrobik, berbasikal, berjalan kaki, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan dikir barat, pemeriksaan kesihatan percuma serta pameran daripada beberapa gerai yang mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Muhammad Pehimi memberitahu, ketika ini, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan negeri dan MBKT sedang meneliti jumlah kompaun yang akan dikenakan terhadap mereka yang mengingkari larangan berkenaan sebaik sahaja kawasan tersebut diwartakan sebagai zon larangan merokok.

"Kita belum putuskan perkara ini kerana ia masih di peringkat perbincangan dan sebagainya.

"Bagaimanapun, buat masa ini, kedua-dua pihak (Jabatan Kesihatan negeri dan MBKT) difahamkan sedang merancang untuk menempatkan anggota penguat kuasa masing-masing di lokasi tertentu di sini dalam usaha mendidik orang termasuk menegur dan memberi nasihat agar tidak merokok," ujar beliau.

Difahamkan, selain Taman Rekreasi Batu Burok, kawasan lain yang turut berada dalam zon kawasan larangan merokok itu termasuklah sekitar Hotel Primula, Masjid Al-Muktafil Billah Shah di Ladang serta kawasan berhampiran Kediaman Rasmi Menteri Besar di Sri Iman di sini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment