Páginas

Thursday 26 June 2014

Penternak ayam dapat vaksin NDV4HR secara percuma

Nawi Mohamad

KUALA TERENGGANU 24 Jun - Penternak ayam kecil-kecilan di negeri ini terutama ayam kampung berpeluang mendapatkan vaksin NDV4HR secara percuma melalui penyertaan dalam program Jom Bertani yang dilancarkan baru-baru ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata, pemberian vaksin melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu selaras dengan usaha mewujudkan zon bebas penyakit ayam.

Katanya, vaksin yang dihasilkan oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan terbukti mampu menghasilkan antibodi tinggi bagi melawan penyakit sampar ayam bagi mengurangkan risiko para penternak.

"Memvaksin adalah penting sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti penyakit sampar ayam dan menerusi pakej vaksin percuma program Jom Bertani, kerajaan negeri berharap dapat meningkatkan pengeluaran hasil daging dan menambahkan pendapatan mereka.

"Kaedah memvaksin NDV4HR amat mudah kerana penternak tidak perlu membawa ternakan masing-masing ke jabatan veterinar, sebaliknya, hanya perlu membancuh vaksin itu sama ada di dalam makanan atau minuman ayam," katanya.

Yang hadir sama Pengerusi Malaysian Vaccines & Pharmaceuticals Sdn. Bhd. (MVP), Datuk Dr. Mhd. Noordin Mohamad Nor; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Abdul Razak Mohd. Zailan serta Pengarah Eksekutif MVP, Rashidah Ibrahim.

Vaksin NDV4HR dihasilkan oleh bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pada 1995 dan merupakan produk pertama yang dikomersialkan oleh institusi pengajian tinggi di negara ini.

NDV4HR merupakan ‘Avirulent Virus’ iaitu virus itu tidak membahayakan atau membawa kematian kepada ayam.

Menurut Abdul Razak, vaksin NDV4HR akan diguna pakai di seluruh negeri ini, justeru usaha-usaha mempromosi dan memberi maklumat tentang kelebihan NDV4HR dan pakej program Jom Bertani itu akan diperkasakan di pejabat perkhidmatan veterinar daerah serta pusat veterinar kecil.

Sementara itu, Rashidah berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2012, vaksin NDV4HR mendapat permintaan tinggi dalam kalangan negara di rantau Asia dan Asia Barat.

Katanya, vaksin itu mempunyai ketahanan haba yang tinggi sehingga 56 darjah celsius dan mampu bertahan selama sembilan jam.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment