Páginas

Tuesday 24 June 2014

Baucar ganti wang beli pakaian sekolah

Oleh Tengku Fauziah Ngah
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 23 Jun - Kerajaan negeri mengambil pendekatan baharu dengan menyediakan baucar menggantikan pemberian wang tunai bagi bantuan pakaian sekolah kepada para pelajar yang layak.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kaedah menukarkan baucar di banyak kedai yang terpilih lebih efektif dan memberi manfaat secara langsung kepada penerima bantuan dan ramai peniaga tempatan.
Katanya, mereka boleh memilih sendiri pakaian yang bersesuaian dan pada masa sama memastikan bantuan itu benar-benar digunakan bagi tujuan tersebut, sebagaimana yang diharapkan oleh kerajaan.

"Konsep pembahagian bantuan pakaian sekolah, kita akan melaksanakannya mengikut kaedah baucar yang akan diagihkan mulai Oktober depan sebagai persiapan memulakan sesi persekolahan 2015.

"Mereka akan ke kedai-kedai yang ada di negeri ini dan melakukan pembelian dengan baucar kerana matlamat kita adalah untuk membantu peniaga (pakaian sekolah)," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Melalui skim bantuan itu, kerajaan negeri mengagihkan RM100 untuk setiap keluarga yang mempunyai seorang anak yang bersekolah atau maksimum RM200 bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada dua anak bersekolah.

Ahmad Razif berkata, ibu bapa dan pelajar boleh menukar dan mendapatkan pakaian yang ditawarkan mengikut cita rasa dan jenama pilihan masing-masing berdasarkan nilai baucar yang diperoleh.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan melantik pemantau khas bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan menjadi penjual pakaian sekolah sedangkan tidak mempunyai perniagaan itu.

Katanya, kerajaan negeri dijangka membelanjakan kira-kira RM14 juta bagi menyediakan bantuan itu kepada pelajar yang berkelayakan di seluruh negeri.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment