Páginas

Wednesday, 11 June 2014

Menteri Besar minta Satu tangguh sewa meter air



 Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU 10 Jun - Kerajaan negeri meminta Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) menangguhkan keputusan berhubung isu sewaan meter air yang menimbulkan sungutan dalam kalangan pengguna.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, hal demikian bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti dan meneliti daripada segenap aspek berhubung isu itu sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kita sedia maklum bahawa Satu sedang mengalami kerugian terutamanya dari segi kecurian air dan sebagainya.
"Tapi, tak apalah. Kita akan melihat dulu kewajarannya (mengenakan caj sewaan meter air) dan InsyaAllah saya akan pastikan hal ini dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Difahamkan, caj sewaan meter air sebanyak RM1 sebulan mula dikenakan kepada setiap pengguna di negeri ini secara serentak dan ramai yang mempersoalkan kewajarannya.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, pada masa ini caj tersebut tidak akan dikenakan sehingga satu kata putus dicapai.
"Setakat ini tidak ada sebarang perubahan yang akan berlaku dan kita akan lihat cara terbaik untuk membantu Satu dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit seperti ini," katanya.
Dalam pada itu, wakil daripada bahagian aduan Satu ketika dihubungi memberitahu, caj tersebut mula dikenakan pada bulan ini dan ia melibatkan di antara 80,000 hingga 90,000 pengguna air.
"Saya tidak tahu rasional mengenai perkara ini (mengenakan caj sewaan meter air) kerana ia melibatkan bahagian pengurusan.
"Tapi, saya rasa perkara ini mungkin berlaku disebabkan salah faham kerana pengguna tidak dimaklumkan terlebih dahulu," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment