Páginas

Tuesday, 17 June 2014

Konsep Felda bangunkan nelayan


BESUT 12 Jun - Kerajaan negeri bercadang mengambil satu langkah baharu berteraskan pendekatan Felda dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi dan tahap kesejahteraan keluarga nelayan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, berdasarkan pengurusan terancang organisasi itu yang membangunkan masyarakat peneroka melalui sektor perladangan, konsep serupa mungkin boleh diterapkan bagi sektor perikanan.

Beliau menarik perhatian, tumpuan terarah kepada industri berasaskan akuakultur dan mereka akan diberi beberapa kemudahan untuk kekal menjayakan sektor itu termasuk perumahan.

"Kita akan fikirkan, kita akan buat kajian apa yang kita akan laksanakan kepada nelayan kerana mereka sukar merubah kehidupan jauh daripada laut.

"Kalau perlu kita akan adakan konsep Felda untuk kita laksanakan dengan nelayan memilih kumpulan nelayan di mana-mana mana lokasi yang difikirkan sesuai untuk dicontohi," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Jom Bertani Peringkat Kebangsaan di Kampung Nyiur Tujuh dekat sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu juga, Ahmad Razif berharap Kementerian Pertanian dan Asas Tani dapat membantu bagi menjayakan program itu.

"Jika Felda buat land (tanah) Felda', apa salahnya kita akan buat sea (laut) Felda. Kita tak payah bagi tanah dan kalau bagi pun hanyalah tempat tinggal. Yang pasti apa yang kita akan laksanakan ini adalah untuk kebaikan rakyat,"ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razif berkata, pihak kerajaan negeri sedia memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan program 'Jom Bertani' bagi merangsang rakyat agar mengusahakan tanah secara bertani untuk keperluan sendiri dan komersial.

"Sebelum ini kerajaan negeri sudah banyak menjalankan program berkaitan dengan pertanian kerana yang pasti pertanian yang diwarisi ini memberikan pulangan jika berusaha.

"Kerajaan negeri tidak ada masalah untuk membantu sama ada dalam bentuk kewangan dan apa jua bentuk lain bagi menjayakan program Jom Bertani ini," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment