KUALA
TERENGGANU 9 Jun - T'Mall yang berkonsepkan pasar raya rakyat (PRR) dan
dibangunkan dengan kos kira-kira RM7 juta di Kuala Berang dijangka dapat
memulakan operasi pada awal tahun depan.
Projek
yang diusahakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)
Terengganu itu bagi memberi ruang lebih luas kepada usahawan kecil dan
sederhana tempatan memasarkan pelbagai jenis produk mereka.
Pengerusi
Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri,
Roslee Daud berkata, ketika ini, kompleks tersebut sudah hampir 70 peratus
siap.
"Kompleks
yang akan diuruskan oleh YPU itu merupakan salah satu bentuk pasar raya rakyat
yang bertujuan memasarkan produk-produk keluaran tempatan.
"Berkonsepkan
pasar raya besar seperti Mydin, kita akan pastikan produk mereka mendapat
tempat dan para pengguna pula dapat membeli dengan harga yang lebih rendah.
"Jika
tiada sebarang halangan, kita jangka menjelang awal tahun depan, kompleks ini
dapat beroperasi sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas
merasmikan Karnival Jualan Sempena Pembukaan Kompleks Usahawan Terengganu (KUT)
di sini hari ini.
Yang
hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah YPU, Datuk Sabri Mohd. Noor dan
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Wan Mohd. Rubi Wan Jusuh serta beberapa tetamu
kenamaan lain.
Karnival
yang berlangsung selama seminggu itu mendapat sambutan memberangsangkan
daripada usahawan tempatan dengan lebih 30 gerai jualan dibuka.
Sementara
itu katanya, KUT mempunyai daya tarikan tersendiri termasuk sebagai Kota Batik
yang menghimpunkan 18 pengusaha batik dengan penawaran produk pada harga
kilang.
"Kota
Batik dijenamakan dengan konsep factory outlet dengan harga produk batik yang
lebih murah, harga sekitar 20 peratus lebih murah berbanding tempat lain,"
katanya.
Menurut
Roslee lagi, KUT menyediakan 77 unit lot dan 60 lot daripadanya telah
disewakan.
Katanya,
selain Kota Batik, kompleks tiga tingkat itu turut dilengkapi Pasar ICT yang
menempatkan pengusaha produk industri kecil dan sederhana, restoran Al-Bakri
T'Cafe, kedai serbaneka T-Shoppe dan galeri tekstil.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140610/wt_03/TMall-dijangka-beroperasi-awal-tahun-depan#ixzz34CESbgaz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment