Páginas

Tuesday 24 June 2014

Rencana Pilihan: Demi kuasa PAS sanggup diperalat DAP

Juhaidi Yean Abdullah
2014/06/23

Antara doa Datuk Nik Aziz Nik Mat terhadap UMNO ialah agar Allah membutakan mata pemimpin dan penyokongnya. Pada 28 Julai 1999, beliau mengakui meniru dan ubah suai sepotong doa Rasulullah SAW untuk mengutuk mereka yang menentang PAS. Tidak cukup dengan itu, beliau panggil UMNO sebagai syaitan, sesat, barua, jahiliah, sosialis dan komunis. Beliau juga memfatwakan bahawa solat orang UMNO tidak membawa pahala, tetapi menampal bendera PAS dapat pahala.
Namun begitu, perkembangan PAS sejak 15 tahun kebelakangan ini seakan-akan doa Nik Aziz dikabulkan. Yang terkena bukan pemimpin dan ahli UMNO tetapi sebahagian pemimpin dan penyokong PAS. Mereka sanggup korbankan kepentingan agama semata-mata mengejar kuasa. PAS sanggup menyokong DAP walaupun menolak hudud dan syariat Islam pada raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan. Malah ada pemimpin PAS yang menganjurkan lebih ramai anak muda Melayu menyertai DAP jika tidak bersedia masuk PAS.

Tidak hairanlah tajuk muka depan Harakah 26 Mei 2014 berbunyi: “DAP Tak Pernah Zalimi PAS”. Kerana sayangkan hubungan dengan DAP, ada pemimpin PAS yang sanggup dirinya dibunuh terlebih dulu jika ada pihak mahu bunuh Karpal Singh dalam soal hudud. Padahal, bekas Pengerusi DAP itu pernah mencadangkan pembatalan pendaftaran dan pembubaran PAS. Parti itu juga membenarkan DAP guna lambang PAS dalam pilihan raya. PAS sanggup korbankan pemimpin sendiri yang bertegas melaksanakan amal makruf nahi mungkar terhadap isu penjualan arak dan banyaknya rumah urut di Selangor. Mereka yang bercakap menentang kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan parti kafir-rasis DAP juga dihukum dan dipinggirkan.

Ideologi PAS berubah
Orang lama dalam PAS kini berasa janggal dan amat tidak selesa. Ramai yang mengatakan mereka tidak kenal lagi wajah asal PAS. Walaupun ideologi masih ada, kenyataannya, tindakan dan pendirian pemimpin PAS hari ini amat berbeza daripada yang pernah dibawa parti itu. Kata mereka, hasrat PAS menubuhkan kerajaan pusat dengan DAP melalui pakatan pembangkang bercanggah dengan hukum Dewan Ulama PAS Kelantan yang dikeluarkan pada 1963 berbunyi: “Orang Islam yang berkongsi dengan orang kafir untuk memerintah menjadi kafir atau haram.”

Ramai berpendapat PAS sudah rosak sejak berkawan dengan DAP. Sikap ‘syaitan bisu’ yang pernah dilemparkan kepada ulama UMNO kini terpalit kepada ulama PAS kerana tidak bersuara walaupun pelbagai penghinaan dilakukan DAP terhadap agama Islam dan penganutnya. Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sendiri dilihat tidak berprinsip kerana sering ‘mengubah tiang golnya’ sendiri. Perjuangan negara Islam dibuang untuk digantikan dengan negara berkebajikan. Sebelum ini PAS berpegang kepada ‘Dokumen Negara Islam’ tetapi kini menjaja Buku Jingga pula. Di bawah kepemimpinannya, slogan parti berubah berkali-kali seterusnya mencairkan fokus. Kini, dalam hampir semua perkara, pendirian PAS tidak banyak beza dengan DAP. Malah, jika hudud tidak diambil kira, PAS dan DAP adalah parti yang sama. Dalam kes terbaru membabitkan isu rampasan Bible berbahasa Melayu, empat pemimpin PAS Selangor mengambil pendirian yang sama dengan DAP mengecam Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor. Mereka antara pemimpin PAS yang menyokong Kristian dalam soal penggunaan kalimah Allah walaupun ditegah Datuk Haron Din.

Imej parti munafik
PAS juga sering tuduh UMNO dan pihak lain sebagai munafik. Jika diikut pandangan bekas Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Awang Abu Bakar, PAS jelas parti munafik. “Orang munafik ni lagu mano perangai? Allazina yattakhizuunal kaafirina auliaa min dunil mukminin. Iaitu orang munafik ini mereka yang mengambil orang kafir buat kawan baik. Sehidup semati, sesirih sepinang, sebantal, setelaga setimba, semampus sehidup.
Semerintah negeri, sedewan, sama-sama jadi wakil rakyat, sama-sama jadi EXCO, sama-sama jadi pegawai kerajaan.” (Ucapan di Gong Duek, Besut, Terengganu pada 1 April 1981). Bukankah PAS pernah menubuhkan kerajaan di Perak dan Kedah bersama DAP, dan kini menjadi anggota kerajaan DAP di Pulau Pinang?

Hari ini, Hadi terpaksa telan ludah sendiri kerana parti pimpinannya berjaya ditarik ke dalam satu pakatan bersama parti kafir yang pernah dikutuknya. Beliau berpelukan dengan Lim Kit Siang, walaupun masih ingat kata-katanya sendiri:
“Macam mana memecahkan orang Mukmin? Allah Taala suruh kita (orang Islam) sahaja bersatu, bersatu kita puak-puak Islam. Bersatu dia (orang kafir) campur hak kafir juga. Orang kafir (akan) tarik (kita) supaya bersatu cara dia.” (Ceramah di Bukit Tok Beng, Seberang Takir, Terengganu pada 17 April 1984).

http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment