Páginas

Tuesday, 10 June 2014

JKR serah Kampus Tembila kepada UniSZA



BESUT 3 Jun - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memasuki fasa baharu dalam proses perkembangannya dengan penyerahan kompleks Kampus Tembila di sini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada institusi itu semalam.
Kampus Tembila di Taman Ilmu Terengganu yang mula beroperasi pada 8 September 2013 itu menempatkan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi, Teknologi Makanan, Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi Fakulti Informatik.
Penyerahan dibuat oleh JKR yang diwakili oleh Pengurus Pembinaan Kampus UniSZA, Ir.Wan Abdul Rahman Wan Hassan kepada Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim dan turut disaksikan Arkitek Kanan JKR Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Hanafi Hamdan.
UniSZA Kampus Tembila peringkat ketiga dengan 21 blok bangunan itu yang pembinaannya bermula pada Ogos 2009 membabitkan kos sebanyak RM225.13 juta.
Sementara itu, Yahaya memberitahu, apabila siap sepenuhnya, semua pelajar jurusan diploma di Kampus Gong Badak akan dipindah ke Kampus Tembila yang mempunyai kemudahan asrama untuk 3,000 pelajar.
"Rancangan yang sedang dijalankan ini menunjukkan bahawa UniSZA sedang berkembang maju seiring dengan universiti lain di negara ini", katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Projek Bangunan UniSZA Kampus Tembila peringkat 3 di sini.
Beliau berkata, seiring dengan langkah perkembangan, UniSZA dijangka menampung sebanyak 15,000 pelajar diploma dan ijazah secara keseluruhannya menjelang 2020.
Katanya, beberapa lagi bidang baharu sedang dikenal pasti untuk dimulakan di UniSZA tidak lama lagi termasuk bidang telekomunikasi, robotik, reka bentuk yang turut memperkenalkan bidang perfileman dan reka fesyen mengikut kehendak pasaran semasa.

No comments:

Post a Comment