Páginas

Monday 1 September 2014

Sambutan penuh patriotisme

RIBUAN Jalur Gemilang dikibar megah oleh peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 di Dataran Merdeka, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan kaum hari ini menyambut Hari Kemerdekaan ke-57 dengan semangat patriotisme tinggi serta kental menghadapi apa juga cabaran selepas bangkit daripada kedukaan tragedi MH17.

Sambutan bertemakan Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta di lokasi-lokasi utama sambutan di seluruh negara dibanjiri orang ramai sejak awal pagi.

Di Dataran Merdeka, lebih 14,000 peserta daripada 23 kontinjen menyertai perbarisan sambutan dan kontinjen-kontinjen ini terdiri daripada pasukan keselamatan, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat-syarikat telekomunikasi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pancaragam.

Acara perbarisan bermula tepat pukul 8.05 pagi sebaik sahaja detikan di jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad berbunyi sebanyak lapan kali, sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Pada masa yang sama, bunyi deruan helikopter di ruang udara Dataran Merdeka memecah suasana apabila lima helikopter iaitu dua EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dua pesawat Augusta 109 milik pasukan udara Tentera Darat Malaysia (TDM), sebuah pesawat jenis Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat lintas hormat semasa ketibaan Seri Paduka berdua.

Turut sama menyaksikan perbarisan yang diisi dengan persembahan yang memukau selama dua jam itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, barisan anggota Kabinet dan ketua-ketua perwakilan asing.

Dianggarkan kira-kira 400,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum hadir menyaksikan perbarisan itu di Dataran Merdeka, di kawasan dan jalan-jalan berhampiran dan sekitarnya.

Perbarisan di Dataran Merdeka turut disiarkan secara langsung di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM). - BERNAMA.

Utusan

No comments:

Post a Comment