Páginas

Monday 8 September 2014

TSC Labur RM550 Juta Bangun Lembah Silika Pertama Dunia Di Terengganu

Oleh: Fauzi Mohd  | 7 September 2014

Ahmad Razif (tiga kiri) menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kilang Pemprosesan Silika Kualiti Tinggi di Kampung Bari, Setiu. Foto oleh Tengku Shamim Tengku Ismail.
*****
Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. (TSC) mengetuai sebuah konsortium antarabangsa melabur antara RM450 juta hingga RM550 juta dalam tempoh lima tahun untuk membangunkan lembah silika yang pertama dunia di Setiu.

Tapak projek pengeluaran pasir silika di kawasan seluas 1,800 hektar di Setiu dan Marang akan menjadi kawasan perindustrian berpusat pertama di dunia untuk silika dan sektor berkaitan galian itu.

Pengerusi TSC, Tengku Seri Temengong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, projek itu akan dibangunkan dengan kerjasama kepakaran dari Jepun di antara syarikat TRG Industrial Minerals Sdn. Bhd., Tochu Corporation (Jepun), Toyota Tsusho Corporation (Jepun) dan Toyota Tsusho (Malaysia).

“Projek ini dijangka menarik sehingga RM1.2 bilion pelaburan tempatan dan asing sekali gus meletakkan Terengganu sebagai pusat industri silika di Asia Tenggara selain membuka jalan bagi lebih banyak pelaburan ke dalam sektor industri hiliran pada pertengahan 2017.

“Ia bakal mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kilang Pemprosesan Silika di Bari, Setiu hari ini.

Ahmad Razif melihat produk yang dihasilkan daripada silika yang bermutu tinggi sambil diperhatikan oleh Tengku Seri Temenggung Raja (Kanan) pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kilang Pemprosesan Silika Kualiti Tinggi di Setiu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
*****
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif TSC, N. Surendran dan Presiden Tochu Corporation, Katsushi Moriti.

Kilang tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2015.

Tengku Baharuddin berkata, dua kawasan deposit silika gred tinggi yang dikenal pasti mampu bertahan sehingga 80 tahun itu akan melalui kajian kebolehlaksanaan secara teliti dan sistematik mengikut piawaian antarabangsa serta mengimplementasikan kaedah Konsep Hijau dalam operasi.

Menurutnya, penggunaan teknologi tinggi dan kepakaran akan menjamin keluaran gred serta mutu silika yang paling tinggi untuk kegunaan industri khas seperti pembuatan kaca panel solar, TV LED, LCD dan komponen elektronik yang lain.

“Pihak konsortium akan memperkenalkan industri kraftangan kristal yang lengkap dengan studio, galeri, muzium serta bengkel latihan yang berpusat di Taman Tamadun Islam yang dikenali sebagai Taman Kristal Terengganu.

“Selain industri kristal, pihak kami juga akan membina satu jeti persendirian yang canggih bagi kegunaan Terengganu Silica Consortium di kawasan berhampiran Bukit Bari,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment