Páginas

Tuesday 23 September 2014

Sidang DUN: Kerajaan Tidak Akan Biarkan Pulau Bebas Cukai Jadi `Gajah Putih’

Oleh: Aida Abd Rahman | 23 September 2014

Dato’ Ahmad Razif(kiri sekali) minum bersama Haji Hadi (kanan) sewaktu sidang DUN berhenti rehat.
*****
Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Majlis Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu (MPPNT) sebagai badan yang bertanggungjawab membantu kerajaan bagi mengenalpasti setiap keperluan di Pulau Bebas Cukai, Tasik kenyir bagi mengelak projek itu menjadi gajah putih.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan meneruskan projek itu sebagaimana  perancangan awal, bagaimanapun akan melaksanakan penambahbaikan dan penyesuaian dari aspek kos dan kaedah pelaksanaan.
“Setiap projek yang yang sudah dan sedang dirancang akan diteruskan. Cuma akan dilakukan penambahbaikan dan penyesuaian dari segi kos,  cara pelaksanaan dan sebagainya.
“Jadi kerana itu, kerajaan bercadang pada masa sekarang ini untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu membantu kerajaan bagi mengenalpasti apa keperluan dan perkara yang perlu dilaksanakan di Tasik Kenyir bagi mengelak dari menjadi `gajah putih’,” kata beliau ketika menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Abdul wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam), di sidang DUN, pagi ini.
Menteri Besar seawal lagi berada dalam dewan.
*****
Abdul Wahid mengemukakan soalan tambahan sejurus menteri besar menjawab soalan lisan dikemukakan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mengenai senarai projek dan pembangunan yang sudah dan akan dinilai semula dari segi pelaksanaanya sebaik sahaja peralihan kepimpinan  baru-baru ini.
Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir menjelaskan, kerajaan negeri  tidak mahu  setiap projek yang sedang berjalan terhenti begitu sahaja kerana ia akan menimbulkan lebih banyak masalah, sekaligus mengundang tohmahan di kalangan rakyat khususnya pembangkang terhadap kerajaan.
Beliau memberitahu, projek pembangunan pulau itu dijangka akan dibuka pada September 2015.
Tambah beliau, Kerajaan Pusat turut bersetuju membantu Terengganu bagi merealisasikan usaha pembangunan di Tasik kenyir itu termasuk membawa  lebih ramai pelabur luar bekerjasama bagi memajukan pusat pelancongan itu nanti.
Dato’ Ahmad Razif sedang menjawab soalan ahli dewan.
*****
  Dato’ Mohd Jidin Shafee.
 *****
“Saya sudah mendapat komitmen daripada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak kerana Kerajaan Pusat juga akan turut membantu bagi membangunkan  (Pulau Bebas Cukai) Tasik Kenyir, selain mempelawa pelabur dari luar supaya sama-sama membangunkan pulau itu.
“Supaya impak pembangunannya nanti bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat, malah Terengganu secara  keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata komponen kawasan bebas cukai merangkumi kawasan bebas cukai Pulau Bayas, Kompleks Kastam dan elektrik dari Kuala Ping ke Pulau Bayas yang kini siap sehingga 40.67 peratus.
Mohd Jidin (BN-Permaisuri) menjelaskan demikian sebagai menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) berkata, kerajaan negeri menjangkakan pulau bebas cukai itu akan siap pada September 2015 sebelum memulakan operasinya pada akhir 2015 atau pada awal 2016.

No comments:

Post a Comment