Páginas

Sunday, 21 September 2014

Pertembungan dua aliran dalam PAS

Oleh Juhaidi Yean Abdullah | juhaidiy@gmail.comKetika sambutan hari jadi yang ke-66 di sebuah hotel di Shah Alam tahun lalu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikunjungi ramai pemimpin utama PAS. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menghadiahkan kek dan menyuap sepotong ke mulut Abdul Hadi, maka bertepuk dan gelak ketawalah Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin yang hadir. Berdasarkan senario semasa, mahukah Mat Sabu hadiahkan kek hari jadi dan menyuap Abdul Hadi sekali lagi menjelang sambutan hari jadi ke-67 bulan depan?
Konflik antara pemimpin nombor satu dan nombor dua PAS meletup bagai gunung berapi seminggu dua ini. Abdul Hadi menyuruh penentangnya keluar parti dan tubuh parti baharu kerana tidak mahu 'nyamuk' yang bising dan menyerabutkan mengganggunya lagi.
Kenyataan dan pendirian Hadi di sokong pemimpin ulama dalam Majlis Syura, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda, yang menyasarkan Mat Sabu kerana sering bercanggah dengan Hadi.
Dewan Ulama baru-baru ini mendedahkan wujudnya usaha 'tikam' Presiden. Timbalan Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Aziz berkata, bapanya menyokong Hadi dan tidak lagi berada dengan puak Mat Sabu.
"Kini, Nik Aziz, Hadi dan Datuk Harun Din di satu pihak. Pihak kedua yang dulunya letak Nik Aziz bersama mereka, kini tak boleh lagi."
Ramai perwakilan meninggalkan dewan ketika Mat Sabu mula berucap ketika merasmi muktamar Pemuda awal minggu ini sebagai tanda protes.

Pengaruh Anwar dalam PAS
Hadi jelas tidak mahu pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PAS dan melarang pemimpin parti terikut-ikut dengan rentak pemimpin PKR itu. Beliau jelas meletak PKR sebagai punca kemelut politik di Selangor, tetapi PAS pula yang dapat bala. Justeru, beliau memberi amaran bahawa pemimpin/ahli yang tidak beristiqamah dengan perjuangan PAS tidak selamat dan menerima akibatnya, sama ada dipecat atau terkeluar parti dengan sendirinya.
Walaupun tidak menyebut nama, amaran itu jelas ditujukan kepada Mat Sabu dan pengikutnya. Ramai ahli PAS menganggap Mat Sabu sudah 'naik tocang.
Ada perwakilan kata beliau kini Mr Arrogant dan membawa masuk elemen janggal ke dalam PAS.
Tegas Abdul Hadi: "Tiada dalam PAS, Islam liberal, Islam orthodox atau Islam protestan. Jangan dengar pandangan orang luar."
Ramai pemerhati melihat perbalahan terbuka Hadi-Mat Sabu sebagai kemuncak polemik kepemimpinan ulama dalam PAS. Kebangkitan dan kemaraan golongan bukan ulama, terutama puak pro-Anwar yang diketuai Mat Sabu (profesional, Anwarinas atau Erdogan) dilihat mengecil dan meminggirkan peranan ulama, termasuk Majlis Syura, Dewan Ulama, Presiden dan Mursyidul Am dalam pembuatan keputusan dan pembentukan dasar.
Menurut Ketua Penerangan, Idris Ahmad, empat keadaan yang memburukkan keadaan adalah: Pertama, apabila ada pemimpin yang rasa mereka sudah cukup hebat, sudah alim, sudah lama berjuang dan sudah lama jadi pemimpin. Kedua, apabila ada pemimpin yang menganggap parti sendiri tiada nizam tarbiyah atau sudah gagal, malah lebih kagum dengan pengalaman dan kaedah jemaah/parti lain. Ketiga, tidak lagi mahu bersama atau menggunakan manhaj yang berbeza. Keempat, tidak mendengar atau mempercayai pandangan, ucapan dan kata-kata pemimpin sendiri. Malah, lebih yakin dengan pandangan pemimpin atau sumber lain.
PAS gagal urus parti
Tokoh veteran, Subky Latif berkata, pertembungan dua aliran ini - ulama dan bukan ulama, berpunca daripada kegagalan PAS menyatakan dengan jelas sama ada kepemimpinan ulama bermakna presiden dan timbalannya mesti ulama.
"Inilah punca masalah. Pertembungan dua aliran ini kencang dan tegang. Saya sama-sama mengetengahkan konsep kepemimpinan ulama pada tahun 1982 dulu. Kalangan ulama mentafsirkan ia meliputi Majlis Syura yang semua anggotanya adalah ulama; presiden dan timbalan juga ulama. Tapi satu aliran lagi tidak setuju dan tidak puas hati sehingga terbit ungkapan 'geng ustaz.'
Pada muktamar PAS tahun 1983, semua jawatan utama - presiden, timbalan presiden dan dua naib presiden adalah ulama. Selama tiga dekad selepas itu, presiden dan timbalan presiden PAS adalah ulama.
Pada multaqa Dewan Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah pada 14 September tahun 2013, antara resolusi diluluskan ialah presiden dan timbalannya mesti ulama.
Namun, pemilihan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS untuk dua penggal berturut-turut mengalahkan dua tokoh ulama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan kemudian Datuk Nik Amar Abdullah, mengubah senario.
Kedudukan Mat Sabu dalam parti dan popularitinya dalam kalangan pemimpin PKR dan DAP membuka ruang lebih besar memperkukuh posisi golongan bukan ulama dan pengaruh Anwar dalam PAS.
Mat Sabu mahu Hadi sedar diri dan dinamisme sosiopolitik semasa, malah mencadangkan golongan ulama untuk upgrade kemahiran politik mereka.
Ketika Hadi diserang sekutu politik kerana caranya mengendali krisis Menteri Besar Selangor dan dikatakan tidak komited kepada perjuangan Pakatan Rakyat, Mat Sabu tidak mempertahankan Hadi, malah dilihat bersetuju dengan pemimpin PKR dan DAP. Beliau pernah mencadangkan penyokong Hadi daripada kalangan ustaz muda yang baru balik dari Pakistan, Mesir dan Jordan jangan 'bertenggek di atas kelulusan agama semata-mata' kerana masih mentah dalam berpolitik.

HADI memeluk Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din sambil diperhatikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kiri) dan Naib Presiden, Mohammad Sabu selepas penangguhan Muktamar Tahunan PAS Ke-60 di Batu Pahat, semalam. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment