PESERTA mendengar ucapan ahli panel pada Seminar Antarabangsa GST 2014
di Sasana Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Muhd
Zaaba Zakeria.
*****
BERBANDING negara di rantau ini, Malaysia adalah pendatang baru dalam melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).Namun, kelewatan itu sebenarnya memberi kelebihan kerana Malaysia dapat mengambil pengajaran daripada negara yang sudah melaksanakannya.
Justeru kata Penasihat Jabatan Hal Ehwal Fiskal Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Kiyoshi Nakayama, Malaysia berkesempatan melakukan kajian mendalam berhubung pelaksanaan rejim percukaian ini dan berupaya menyesuaikan GST mengikut keperluan rakyatnya.
Pasukan berpengetahuan
Pasukan yang akan melaksanakan rejim percukaian itu juga dilihat sangat berpengetahuan dan sudah bersedia untuk menguatkuasakannya, katanya ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Kesan GST Terhadap Pertumbuhan Ekonomi dan Pengagihan' pada Seminar Antarabangsa GST 2014 yang diadakan di Sasana Kijang, baru-baru ini.
Indonesia melaksanakan GST pada tahun 1985 yang dikenali sebagai Value Added Tax (VAT), sementara Thailand pada tahun 1992 dan Singapura pada 1994. Setakat ini hanya Brunei Darussalam dan Myanmar yang belum melaksanakan GST. Secara keseluruhannya, GST yang juga satu bentuk cukai kepenggunaan telah dilaksanakan lebih 150 negara.
Ekonomi Malaysia pada tahap baik
Nakayama berkata, oleh kerana ekonomi Malaysia pada masa ini berada pada tahap yang agak baik, jadi ia adalah masanya untuk negara ini melaksanakan GST.
Selain itu katanya, kadar kesediaan Kementerian Kewangan dan Kastam Diraja Malaysia dalam melaksanakan GST adalah lebih daripada biasa dan dari segi komunikasi pelbagai kaedah yang agak inovatif dilaksanakan termasuk melalui media sosial.
"Saya meyakini tahap kesediaan kementerian dan jabatan berkenaan," katanya.
Dalam perkembangan sama Nakayama berkata, struktur GST yang dirangka dengan kemas perlu mempunyai dasar yang komprehensif meliputi semua barangan dan perkhidmatan dengan sesetengah barangan boleh dikecualikan, selain satu kadar cukai yang dianggap positif.
Katanya, GST ditanggung oleh pengguna, tetapi dibayar oleh perniagaan, justeru keputusan dalam pengeluaran tidak dipengaruhi secara terus dan jika semua barangan dan perkhidmatan dikenakan satu kadar yang sama, harga secara relatifnya tidak berubah yang mana tiada kesan penggantian terhadap permintaan.
Penilaian kepada kepenggunaan
Beliau berkata, dalam mengukur sama ada GST sesuatu yang berkembang atau terkebelakang, penilaian yang terbaik adalah melihat kepada kepenggunaan bukannya pendapatan dan kadar kepenggunaan mutlak golongan berpendapatan tinggi adalah lebih besar daripada mereka yang berpendapatan rendah.
Sementara itu, pada sesi yang dikendalikan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Profesor Madya dalam bidang Ekonomi University of Exeter Business School, United Kingdom (UK), Simon James, berkata sejak VAT diperkenalkan pada tahun 1973 pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UK meningkat daripada dua peratus kepada 6.5 peratus pada tahun 2012/2013.
UK memperkenalkan VAT bagi menggantikan Cukai Pembelian dan beberapa cukai pekerjaan yang mana antara sebab pengenalannya adalah berkaitan dengan imbangan pembayaran selain menyelaraskan dengan negara di Kesatuan Eropah.
Dalam tempoh berkenaan UK beberapa kali mengubah kadar cukai itu dengan terakhir pada 2010/2011 iaitu kadar standard 20 peratus katanya dalam kertas kerja bertajuk Kesan GST Terhadap Ekonomi dan Pengagihan Pengalaman UK.
Katanya, GST yang menjadi satu bentuk cukai penting di seluruh dunia adalah sumber yang berkesan terhadap pendapatan kerajaan dan ia menyumbang dalam bentuk fiskal, ekonomi, ekuiti dan kestabilan.
Tiga kriteria bagi cukai yang stabil katanya, adalah cukai yang berkaitan faktor yang berubah seperti pendapatan dan kepenggunaan, asas cukai yang luas dan betapa cepat ia dapat membuat penyesuaian.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment