Páginas

Monday 22 September 2014

Rencana Pilihan: Politik 'cipta hantu' gugat Pas

Oleh Zulkiflee Bakar
Muktamar Tahunan Pas Kali Ke60 selama tiga hari di Batu Pahat, yang berakhir semalam ternyata menjadi medan ahli-ahli parti itu di peringkat akar umbi meluahkan perasaan geram, marah, sedih dan kecewa terhadap gelagat atau perangai sesetengah pemimpin Pas yang lebih cenderung mengikut apa kata Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Tema ucapan dasar Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar tahun lalu yang bertemakan 'Rahmat Untuk Semua' seolah-olah menjadi kenyataan pada tahun ini apabila tercetusnya krisis jawatan Menteri Besar (MB) Selangor. Ia memandangkan konflik itu ibarat satu rahmat untuk ahli-ahli Pas bagi mengenali wajah sebenar sesetengah pemimpin mereka sejak Pas menjalinkan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.

Berikutan situasi itulah Abdul Hadi memilih tajuk 'Terus beristiqamah' untuk tema ucapan dasar beliau dalam muktamar kali ini kerana sememangnya dalam kalangan sesetengah pemimpin dan ahli Pas, ramai yang semakin longgar istiqamahnya dan ada pula yang masih tercaricari dengan siapa mereka sepatutnya beristiqamah.

Atas sebab itulah muktamar yang berlangsung seolah-olah menjadi medan pertempuran bagi mengecam golongan tersebut supaya menghormati adab berjemaah kerana mereka berada dalam parti memperjuangkan Islam.

Ahliahli Pas marah dengan sikap sesetengah pemimpin mereka yang menyanggah Abdul Hadi secara terbuka. Mereka kesal dengan perangai PKR dan DAP yang mahu Pas mengikut telunjuk kedua-dua parti itu. Mereka kecewa apabila ulama terus dihina dan mereka benci apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih disanjung berbanding Presiden Pas sendiri.

Bukan sahaja Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dikritik secara terbuka oleh perwakilan Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari kerana membuat kenyataan bertentangan dengan Abdul Hadi tetapi perwakilan juga menjadikan pemimpin-pemimpin yang terlalu 'mengagung-agungkan' PKR dan Anwar sebagai sasaran.

Kelompok inilah dilihat membawa 'virus' sehingga menyebabkan golongan ulama yang sudah banyak menaburkan jasa kepada Pas dihina dan diperlekehkan.

Berikutan itulah seorang perwakilan dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas pada Rabu lalu mengingatkan pemimpin dan ahli Pas agar tidak terlalu kagum dengan Anwar sehingga mengetepikan pucuk kepimpinan parti sendiri dan dasar perjuangan Islamnya.

Menyerap
Sememangnya inilah pokok masalah dalam Pas sekarang sehingga muktamar tahun ini bagaikan 'medan perang' apabila pengaruh politik Anwar sudah menyerap dalam parti tersebut. Pengaruh itu tidak membawa apaapa kebaikan kepada Pas sebaliknya sedikit demi sedikit sedang melemahkan Pas.

Mana mungkin Pas tidak akan lemah kalau katakata Abdul Hadi boleh disanggah tanpa sedikit pun rasa hormat dalam forum terbuka. Mana mungkin Pas tidak akan lemah kalau suara ulama cuba dipinggirkan manakala keputusan Majlis Syura Ulama dipersoalkan.

Sepanjang membuat liputan muktamar Pas sejak tahun 1992, penulis tidak pernah menyaksikan muktamar 'sepanas' ini. Segala-galanya berlaku kerana pengaruh politik luar yang sebelum ini dilihat begitu asing kepada ahli-ahli Pas sudah menyerap masuk ke dalam parti tersebut.

Mungkin menyedari bahaya inilah Abdul Hadi dalam ucapan dasar beliau meluahkan: "Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain, sehingga hilang prinsip dan jati diri kita atau hanya menjadikan ukuran kemenangan sematamata sebagai matlamat sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam, matlamat kemenangan mesti digunakan bagi memperteguhkan prinsip Islam yang bersifat syumuliyyah."

Bagaimanapun sebahagian pemimpin Pas sudah terpengaruh dengan politik mencari kemenangan dalam pilihan raya sematamata akibat teruja dengan impian yang diuar-uarkan oleh Anwar untuk menawan Putrajaya.

Sepanjang membuat liputan muktamar kali ini, penulis mengakui misi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO serta mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum menjadi matlamat utama ahli-ahli Pas tetapi mereka mahu melakukan dengan cara yang betul dan bukannya menggadaikan segala-galanya bagi tujuan itu.

Sebab itulah mereka mengecam dan mengkritik pemimpin-pemimpin bukan ulama yang sanggup mengamalkan 'politik mencipta hantu yang tidak wujud' untuk mencapai matlamat bersama PKR dan DAP.

Golongan itu dilihat mengamalkan sikap, menganggap semua kenyataan Anwar betul, semua rancangan PKR dan DAP tepat manakala keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang perlu dipatuhi. Akibatnya mereka menyifatkan kata-kata Abdul Hadi tidak dipeduli, perancangan Pas perlu dirujuk dengan sekutu dan keputusan Majlis Syura Ulama tidak harus diikuti.

Pertelagahan
'Politik mencipta hantu' ini kesudahannya meletakkan Pas dalam keadaan sekarang, pemimpin bertelagah sesama sendiri dan ahli berbalah antara satu sama lain, manakala PKR dan DAP hanya memerhati sahaja gelagat Pas yang terpaksa memikul beban terhadap satu masalah yang dicipta orang lain.

Malah ada antara mereka 'tumpang semangkuk' untuk mengecam pemimpin Pas seperti mana yang dialami oleh Abdul Hadi apabila beliau menjelaskan kenapa Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor.

Dan situasi yang sama berulang apabila perwakilan Pemuda mengingatkan ahli-ahli Pas supaya jangan terlalu mengagumi Anwar, Pas dikecam oleh pemimpin PKR. Mereka mempersoalkan bagaimana Pas boleh membiarkan perbuatan itu dilakukan tetapi mereka tidak pula berkata apa-apa apabila pemimpin PKR dan DAP memperlekeh pemimpin Pas.

Mereka bersikap demikian kerana tahu 'ada kaki dan kepala' PKR dan DAP dalam Pas, sebab itulah seorang perwakilan memberi peringatan, "Jangan ada tangan Pas yang mengikut kepala DAP."

Bagaimanapun dalam muktamar tersebut, ahli-ahli Pas melalui wakil masing-masing memberikan mesej yang jelas, "cukup-cukuplah …'kegilaan' politik mengikut rentak kedua-dua parti itu perlu dihentikan."

Ia memandangkan seperti mana ditegaskan oleh beberapa pemimpin dan perwakilan bahawa Pas bukan sekadar gerakan politik tetapi juga gerakan Islam serta berpegang kepada dasar Islam.

"Walaupun ada yang rasa dengan menyokong dasar ini akan melambatkan kemenangan namun kita menegaskan, walaupun seribu tahun lagi kemenangan itu, kita akan tetap memperjuangkannya.

"Tetapi kadangkala mereka lebih gemar atau lebih terliur dengan seruan-seruan lain. Bila parti Erdogan menang di Turki, kita hendak jadi Erdogan, apabila Jokowi menang di Indonesia, kita hendak jadi Jokowi. Apakah sebenarnya pendirian kita," kata wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik.

Keadaan itulah menyebabkan ahli-hli Pas dalam muktamar kali ini membantah kelompok pemimpin yang dilihat cuba merendahrendahkan golongan ulama dan majlis syura.

Kesimpulannya, ahli-ahli Pas mahu supaya 'politik mencipta hantu' dihapuskan kerana bak kata Abdul Hadi dalam ucapan penggulungannya, "Kalau tidak boleh ikut imam solat berjemaah, carilah tanah dan buat masjid lain."

Utusan

No comments:

Post a Comment