Páginas

Monday 6 April 2015

32 Sekolah Perintis Trenglish 2014-2016

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 5 APRIL 2015


Mohd Zubir menyempurnakan gimik pelancaran Program TRENGLISH di Wisma Darul Iman, hari ini.
*****
Sebanyak 32 sekolah terpilih sebagai sekolah perintis program pendidikan,  Trenglish atau `Transforming English’ di bawah agenda Transformasi Terengganu Baharu (TTB), yang dilancarkan hari ini.

Kesemua sekolah dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan melaksanakan program itu secara kolaboratif oleh Yayasan Terengganu (YT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sepanjang tiga tahun bermula tahun ini.


Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, berkata program Trenglish bertujuan meningkatkan budaya penggunaan Bahasa Inggeris Komunikasi di kalangan murid-murid khasnya dan rakyat amnya.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar rakyat di negeri ini memiliki kemampuan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris bagi membolehkan rakyat berperanan secara aktif dalam era globalisasi ini.

“Di samping itu, program Trenglish juga diharap dapat membantu meningkatkan keyakinan murid-murid negeri Terengganu bagi menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan awam khasnya Sijil Pelajaran Malaysia,”katanya.

Mohd Zubir melancarkan program itu sebagai mewakili Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman yang juga penaung program berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Khas, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail merangkap Pengerusi Program Trenglish 2014-2016 .

Hadir sama, Pengarah YT, Mohamad Sulong dan Pengarah JPNT, Zakaria Hussin.

Tambah beliau, sebelum program itu dilancarkan, satu makmal Trenglish dilaksanakan pada awal tahun ini membabitkan tenaga-tenaga pakar Bahasa Inggeris dan guru-guru berpengalaman dari pelbagai institusi tempatan seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah terpilih serta mantan guru Bahasa Inggeris dan tokoh korporat bagi membincangkan strategi pelaksanaan program.

Katanya, antara pengisian Trenglish yang dicadang dan akan dilaksanakan secara berfasa ialah penempatan pembantu guru Bahasa Inggeris (Terengganu Hired English Language Personnel atau T-HELP), penerbitan majalah Fun TRENGLISH secara berkala, penerbitan modul TRENGLISH, Friends of TRENGLISH, TRENGLISH Camp, TRENGLISH with community, TRENGLISH On Air, TRENGLISH Online (Instagram), TRENGLISH Nerve Center dan TRENGLISH Kiosk.

Menurutnya, program Trenglish juga menyokong hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Anjakan 9 yang menitikberatkan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap program itu menjadi pemangkin kepada pembudayaan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Terengganu yang digunakan secara meluas sebagai bahasa kedua di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh Baru (DUN Air Putih), SMK Menerong ( Ajil), SM Imtiyaz YT-Kuala Terengganu (Alur Limbat), SMK Chung Hwa Wei Sin (Bandar), SMK Sultan Sulaiman (Batu Buruk),SMK Tengku Mizan Zainal Abidin (Batu Rakit);  SMK Kuala Jengal (Bukit Besi); SMK Sultan Mansor (Bukit Payong);  SMK Bukit Tunggal (Bukit Tunggal), SMK Chukai (Cukai),SMKA Wataniah (Hulu Besut); SMK Jabi (Jabi), SMKA Ittifakiah (Jertih); SMK Badrul Alam Shah (Kemasik);  SMK Kijal (Kijal); SMK Permaisuri Nur Zahirah (Kota Putera) dan SM Imtiaz YT-Kuala Berang (Kuala Berang).

Lain-lain ialah SMKA Nurul Ittifaq (Kuala Besut); SMA Khairiah (Ladang); SMK Pelong (Langkap); SMK Belara(Manir); SMK Paka (Paka); SMK Bukit Sawa (Pengkalan Berangan); SMK Lembah Bidong (Permaisuri); SMK Tengku Intan Zaharah (Rantau Abang); SMK Tengku Lela Segara (Rhu Rendang); SMK Kompleks Seberang Takir (Seberang Takir);  SMK Seri Dungun (Sura); SMK Matang (Telemung); SMK Manir (Teluk Pasu); SMKA Tok Jiring (Tepuh) dan SMK Sultan Ahmad (Wakaf Mempelam).


Teganukita

No comments:

Post a Comment