Páginas

Thursday, 2 April 2015

SME Corp Sedia RM1 Juta Bantu Usahawan Belia Terengganu Tahun Ini

AUTHOR: FAUZI MOHD 2 APRIL 2015

SME Corporation Malaysia (SME Corp), Terengganu menyasarkan dapat membantu 10 usahawan belia tahun ini bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan peruntukan geran berjumlah RM1 juta.

Pengarahnya, Muhammad Ibrahim berkata, setakat ini sebanyak tiga usahawan berpotensi dikenal pasti untuk menerima manfaat itu dalam Program Peningkatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).


Bagaimanapun katanya, buat masa ini program tersebut hanya memberi tumpuan kepada usaha­wan dalam industri makanan, produk asas tani, minyak, gas dan tekstil.

“Sejak dilaksanakan pada Ogos 2013, kita telah meluluskan pembiayaan keseluruhan terhadap 21 syarikat dengan nilai bantuan sebanyak RM1.56 juta.

“Di samping itu, kita juga akan memantau perjalanan syarikat yang terpilih untuk memastikan perniagaan itu mampu bertahan, terus berdaya saing dan memperluaskan jaringan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat kilang syarikat Adeq Sue Resources Sdn. Bhd. di Kuala Terengganu.

Muhammad memberitahu, selain pembiayaan awal modal perniagaan untuk tujuan pembelian peralatan, sewaan dan pengubahsuaian kilang, pihaknya turut bersedia mempertimbangkan keperluan-keperluan lain yang bersesuaian terutama dari segi promosi.

“Kita akan melihat keperluan itu misalnya berkaitan geran promosi produk atau tambah nilai pembungkusan dan bantuan tersebut boleh dipohon dari semasa ke semasa.

“Kita menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat menerusi program ini sebagai satu rangsangan yang kuat untuk memastikan mereka menjayakan dan tidak mensia-siakan peluang,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment