Páginas

Monday, 27 April 2015

Terminal Agro Terengganu Agenda RMK-11

AUTHOR: FAUZI MOHD 24 APRIL 2015

Pembinaan Terminal Agro Terengganu di Bukit Payong, Marang akan dimasukkan ke dalam agenda Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff Awang berkata, hasil perbincangan dan lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ke tapak berkenaan, pihaknya bersetuju menjadikan projek berkenaan sebagai permohonan projek kementerian di bawah RMK-11.


“Pembinaan terminal yang juga pasar borong negeri ini sebenarnya sudah lama dirancang iaitu sejak 2006 dan kerja-kerja penyediaan tapak telah siap pada 2008 dengan kos sebanyak RM10 juta di atas tapak seluas 9.8 hektar, namun ia tergendala disebabkan kekangan bajet kerajaan negeri,” katanya selepas Program Lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke tapak Terminal Agro.

A.Latiff berkata, projek pembinaan terminal tersebut dianggarkan bernilai RM100 juta termasuk laluan akses ke terminal berkenaan.

“Ia akan dilengkapi dengan 350 lot zon borong untuk pasaran produk, pejabat urus tadbir, 18 unit gudang borong, kompleks dingin beku, kawasan hentian rehat dan rawat dengan kemudahan bank, lapan lot gerai makan, pejabat pos dan bit polis.

“Kemudahan prasarana lain seperti menara tangki air, tiga unit pencawang Tenaga Nasional Berhad, 600 unit parkir dan kolam takungan juga akan dibina,” katanya.

A.Latiff berkata, apabila siap kelak terminal berkenaan akan menjadi sebuah pusat rangkaian pemasaran produk pertanian, perikanan, penternakan dan pendidikan agro pertama di negeri ini.

“Terminal ini terletak di kawasan strategik, berhampiran Bandar Marang dan berdekatan susur keluar ke Bukit Payong melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 dan berada di tengah-tengah antara daerah lain di negeri ini.

“Di Marang, kita mempunyai pelabuhan perikanan laut dalam yang besar di Chendering dan kalau pembinaan terminal ini dilaksanakan, saya yakin pendaratan ikan akan lebih berfokus dan menjadi satu pusat transit pembekalan ikan untuk diedarkan ke seluruh semenanjung,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment