Páginas

Sunday 19 April 2015

Hasan taruhan BN di Rompin

MOHD. SHARIZA ABDULLAH DAN MOHAMAD SHOFI MAT ISA  |  19 April 2015

Muhyiddin Yassin (dua kanan) menjulang tangan Hasan Arifin (tengah)  yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin dalam majlis pengumuman calon BN di pejabat UMNO Rompin, Pahang semalam. Yang hadir sama Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri); Adnan Yaakob dan kepemimpinan parti komponen BN negeri. MINGGUAN/MAHATHIR ALI
*****
ROMPIN 18 April - Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin bagi mempertahankan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 5 Mei ini.


Pemilihan Hasan, 62, yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Rompin di sini hari ini.

Pemilihan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam itu menepati ramalan banyak pihak yang melihat beliau sebagai calon selesa jika BN mahu mengekalkan penguasaan kerusi berkenaan kerana sudah dikenali masyarakat Rompin selain berpengalaman luas dalam politik.

Muhyiddin berkata, Hasan me­rupakan calon paling sesuai untuk menggalas cabaran BN di kerusi itu berdasarkan pengalaman luasnya dalam pengurusan dan pentadbiran parti serta kerajaan.
“Dalam parti, beliau sudah lama memimpin di beberapa peringkat sehingga ke peringkat Ahli Majlis Tertinggi UMNO manakala dalam kerajaan beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Besar selain berpengalaman dalam pengurusan syarikat di bawah kerajaan negeri.

“Di samping itu, beliau pernah menjadi wakil rakyat sebagai ADUN dan kali ini kita rasa sesuai untuk beliau teruskan tradisi dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis.
“Penerimaan penduduk tempatan terhadap beliau cukup baik, saya percaya inilah pilihan yang tepat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman itu.

Yang hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob dan kepemimpinan parti komponen BN negeri.
Selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri bersama tetamu dan penduduk solat Zuhur berjemaah dan menyertai majlis tahlil bagi Allahyarham Jamaludin di Masjid Al-Muadzam Shah di sini sebelum makan tengah hari bersama jemaah kariah serta penduduk setempat.

Muhyiddin berharap pengundi di Parlimen Rompin dapat menerima Hasan sebagai wakil rakyat baharu mereka sekali gus memudahkan penyampaian sebarang masalah kepadanya kerana sudah biasa dengan beliau.

Pengarah Pilihan Raya BN itu turut menasihatkan jentera parti supaya bekerja keras kerana beliau meletakkan sasaran tinggi tetapi realistik dengan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap pusat daerah mengundi.

Ditanya apakah BN bakal memperoleh kemenangan mudah memandangkan kerusi itu dikatakan kubu kuat parti berkenaan, beliau yakin dapat mempertahankannya tetapi perlu mengatur strategi dengan bijaksana.

“Kita tidak mahu bersikap sombong kerana ini pilihan raya yang mana penentunya adalah pengundi. Oleh itu jangan ambil mudah.

“Kebimbangan saya ialah orang ramai beranggapan BN akan menang, maka tidak ramai turun mengundi termasuk ahli parti yang membuat jangkaan begitu. Kalau peratusan mengundi tidak tinggi, ia boleh menjejaskan majoriti diinginkan,” ujar beliau.

Mengenai isu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang dijangka dimainkan pembangkang pada pilihan raya kecil itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN sudah bersedia dengan jawapan meyakinkan untuk diperjelaskan oleh jentera parti.

“Ini perkara yang sudah kita duga dan akan diperjelaskan sepanjang kempen,” katanya.
Kerusi Parlimen Rompin kosong berikutan kematian Jamaludin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Jamaludin mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang disandangnya sejak 1990 selepas mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Utusan Online

No comments:

Post a Comment