Páginas

Tuesday 28 April 2015

Anugerah Dato’ Sebagai Pemangkin Lebih Gigih Tunai Amanah Rakyat – Pehimi

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN | 27 APRIL 2015


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof mahu menjadikan anugerah yang membawa gelaran dato’ kepadanya sebagai batu loncatan untuk beliau melaksanakan amanah kepada rakyat dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Terima kasih dengan anugerah ini. Ini menjadi pemangkin kepada saya untuk bekerja lebih gigih, bertanggungjawab dan amanah demi kepentingan negeri dan rakyat Terengganu.


“Dengan apa yang dititah oleh Tuanku Sultan (Sultan Mizan Zainal Abidin) dan ucapan Menteri Besar (Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman) (sempena istiadat itu), kita harap supaya Terengganu terus memacu kemajuan bukan sahaja sehingga 2020 tetapi juga hingga tahun seterusnya,”katanya lagi.

Beliau mengulas demikian kepada pemberita selepas mendahului senarai penerima Dato’ Paduka Mahkota Terengganu yang membawa gelaran dato’ di istiadat penghadapan dan pengurniaan bintang darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Ke-53 Hari Keputeraan, di Singgahsana Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, semalam.

Berkenan mengurniakan darjah kebesaran itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Seri Halina Zakaria.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Mohamad Kamil Othman, mahu supaya anugerah yang membawa gelaran dato’ itu mampu menjadi kesinambungan kepada Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) yang lain selepas ini untuk turut sama menerima pengiktirafan sedemikian.

“Saya merasa tugas dan tanggungjawab serta perkhidmatan pegawai tadbir negeri dapat pengiktirafan dan saya amat berbangga. Saya berharap pada tahun akan datang adanya kesinambungan di kalangan TCS supaya mendapat anugerah yang sama. Insha-Allah.

“Dengan pengiktrafan ini juga saya merasa lebih semangat untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada semua,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment