Páginas

Monday 27 July 2015

Kementerian Kesihatan Diminta Percepat Naik Taraf Hospital Besut dan Setiu

AUTHOR: MOHAMAD ISHAK 27 JULY 2015


Kementerian Kesihatan diminta mempercepatkan proses menaiki taraf dua hospital daerah di negeri kepada hospital berpakar untuk meningkatkan  mutu perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof berkata, dua hospital daerah yang dicadangkan kerajaan negeri untuk dinaik taraf kepada Hospital Berpakar ialah Hospital Besut dan Hospital Setiu.

Katanya, kedua-dua hospital berkenaan kini sudah mempunyai beberapa kemudahan asas untuk dijadikan hospital berpakar termasuk dewan bedah yang membolehkan pakar bedah membuat pembedahan terhadap pesakit yang memerlukan rawatan berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini penduduk yang mendapat rawatan di hospital terbabit terpaksa merujuk kes kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, jika memerlukan kes rujukan.

“Jika kementerian menaik taraf hospital terbabit ia boleh menempatkan doktor pakar untuk memberi pelbagai perkhidmatan kepakaran kepada pesakit,” katanya selepas mengadakan majlis rumah Terbuka Aidilfitri di Besut kelmarin.

Muhamad Pehimi yang juga ADUN Jertih berkata, keadaan jarak yang jauh untuk menghantar pesakit ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu, Kelantan juga menyukarkan ahli keluarga  pesakit untuk menjaganya.

Mengenai kes keracunan pada bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri tahun ini beliau mengesahkan tiada sebarang kes dilaporkan berlaku di seluruh negeri dan ia satu perkembangan baik kerana semua pihak peka kepada penjagaan kebersihan makanan.

Bagaimanapun katanya, semua hospital daerah dilaporkan menerima kedatangan pesakit luar yang meningkat terutama ketika sambutan Aidilfitri dan kakitangan hospital dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment