Páginas

Sunday, 26 July 2015

Raya Enam Mekar Amalan Bersih, Ziarah Perkuburan

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 26 JULY 2015


Sambutan ‘raya enam’ istilah bagi segelintir masyarakat Islam merupakan perayaan sebagai meraikan selesainya puasa selama enam hari bermula 2 Syawal.


Lazimnya raya enam di negeri di Pantai Timur terutama di Terengganu lebih meriah berbanding di negeri-negeri lain apabila amalan menziarahi dan membersihkan perkuburan Islam terus menjadi tradisi di kalangan mereka.

Hari itu juga menjadi medan bagi bertemu serta saling bermaaf-maafan sesama saudara-mara serta jiran tetangga sekali gus mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Bagi penduduk Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu,  tradisi itu masih kekal terpelihara sehingga kini sejak zaman-berzaman lagi.

Seorang penduduk, Ramli Awang, 68, berkata bermula jam 8 pagi, sebahagian warga kampung terutama golongan tua dan belia akan keluar ke tanah perkuburan untuk membersih kawasan sekitar terutama kubur saudara mara terdekat.

“Selepas membersihkan kubur,  kita tidak lupa menghadiahkan bacaan doa dan tahlil kepada arwah moga diampunkan dosa-dosa mereka yang telah tiada dan sentiasa mengingatkan kita yang masih hidup ini kepada kematian,”katanya.

Bagi Nafisah A Rahman, 60, pula, raya enam menjadi bertambah meriah apabila saudara-mara yang jauh dan berasal dari kampung itu pulang berkumpul serta  bertemu di kawasan perkuburan. Bukan sahaja menziarahi perkuburan malah hari itu menjadi waktu terbaik merapatkan silaturrahim.

“Kesempatan berkumpul dan bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan memberi peluang bertanya khabar dan menikmati jamuan kecil-kecilan yang disediakan keluarga masing-masing.

“Mereka yang datang dari jauh juga mengambil peluang selepas menziarahi  kubur untuk berkunjung ke rumah saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kampung sempena Syawal ini,”katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment