Páginas

Thursday, 2 July 2015

Pertambahan Enrolmen Pelajar Di Sekolah Seluruh Terengganu Merosot

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 2 JULY 2015


Pertambahan penempatan guru di Terengganu hanya boleh dilakukan jika berlaku pertambahan enrolmen (bilangan) pelajar di sekolah seluruh Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib,


Katanya,  jika berlaku pertambahan atau pembukaan sekolah baharu sekalipun, jika enrolmen murid tidak bertambah, bilangan guru yang layak diterima oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dalam sijil perjawatan tetap tidak berubah.

“Sehubungan itu harapan lebih 2,000 guru yang berada di luar Terengganu memohon untuk  ditempatkan di sekolah-sekolah Terengganu hanya boleh direalisasikan jika berlaku pertambahan enrolmen murid di sekolah-sekolah Terengganu.

“Malangnya berdasarkan trend semasa, bilangan enrolmen murid di sekolah dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini sentiasa merosot,” katanya kepada Teganukita.my.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media sebelum ini mengenai permohonan lebih dari 2,000 guru di luar Terengganu yang mahu ditempatkan di seluruh sekolah di Terengganu.

Ghazali berkata, bilangan guru yang ditempatkan di sekolah kerajaan adalah berdasarkan sijil perjawatan yang diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan sijil perjawatan itu ditetapkan berdasarkan bilangan serta enrolmen murid di setiap  sekolah.

Menurut beliau, berdasarkan rekod sehingga 16 Jun lalu, data pengisian perjawatan di sekolah-sekolah kerajaan negeri melibatkan  sekolah menengah berdasarkan sijil perjawatan adalah 8,012 orang, sementara pengisian sebenar seramai 7,954 orang.

“Ini bermakna JPNT mengalami kekurangan 58 guru dan kekurangan itu akan ditampung dengan penempatan baharu guru opsyen bahasa Inggeris pada Julai ini. Ini bermakna sekolah menengah sudah memiliki guru yang mencukupi berdasarkan sijil perjawatan.

“Sementara keperluan guru di sekolah rendah seramai 11,923 orang dan  pengisian sebenar adalah 11,971. Ini bermakna JPNT mengalami lebihan 58 guru di sekolah rendah, sekali gus tiada ruang kemasukan guru dari luar Terengganu,”katanya.

Beliau berkata, antara strategi JPNT mulai tahun lalu adalah tidak lagi menerima guru-guru dari Kelantan yang memohon untuk ditempatkan di Besut kerana penempatan berkenaan akan menyebabkan pengisian sijil perjawatan dipenuhi oleh guru dari negeri jiran itu yang akan menghalang guru dari Besut berada di luar Terengganu untuk ditempatkan di daerah itu.

Katanya, secara berperingkat-peringkat, guru yang sudah lama berkhidmat di Besut akan bersara wajib dan kekosongan perjawatan itu akan diisikan dengan penempatan guru-guru Terengganu (khususnya Besut) yang berada di luar Terengganu yang memohon balik bertugas di Terengganu dan pendekatan yang sama juga diamalkan di daerah lain.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment