Páginas

Monday, 13 July 2015

Polis Tumpu Tiga Laluan Berisiko Di Terengganu

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 13 JULY 2015


Menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi, polis Terengganu memberi tumpuan  tiga laluan  `panas’dan berisiko yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini sepanjang Ops Selamat 7 yang bermula 10 hingga 25 Julai ini.

Tiga laluan itu adalah sepanjang  Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kuantan, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dan Jalan Jerangau-Jabor  (Kemaman).


Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata  bagi mencapai matlamat operasi berkenaan, Polis  Kontinjen Terengganu mengembleng tenaga melibatkan 624 pegawai dan anggotanya  supaya memberi tumpuan di setiap lokasi strategik yang sudah ditetapkan itu.

Katanya, lokasi tumpuan itu diberi keutamaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan memandangkan pengguna jalan raya dari Kelantan, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur memilih laluan itu sebagai laluan utama.

“Tujuan utama kita adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan penyuraian trafik untuk mengelak kesesakan di tiga jalan utama berkenaan.

“Pada masa yang sama, polis juga menekankan usaha untuk mengurangkan kadar jenayah pecah rumah. Ini kerana setiap tahun penduduk sentiasa diingatkan supaya memaklumkan kepada polis berdekatan sekiranya mereka meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti , agar rondaan dan kawalan di sekitar rumah mereka boleh dipertingkatkan bagi mengelakkan jenayah kecurian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Balik Kampung Bersama Media anjuran Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) sejajar dengan kempen Ops Selamat 7 oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), di Jalan Tengku Mizan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Di majlis itu, Kawat menyampaikan sumbangan 200 unit hamper makanan dan cenderahati kepada polis yang bertugas sempena Ops Selamat 7 dan juga pengguna jalan raya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya Terengganu, Abd Rahman Emang Anyie dan Presiden Kawat, Ayob Mamat.


Rosli berkata, menerusi kempen  `Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ pihaknya berharap jenayah kecurian dapat dikekang sebagaimana tahun-tahun sebelum ini apabila tiada kes itu dilaporkan hasil kerjasama baik antara masyarakat dan polis.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment