Páginas

Thursday 2 July 2015

Kerajaan Bersedia Bangunkan Taman Tema Air Tasik Kenyir Fasa Kedua

AUTHOR: SURIATI ALI 1 JULY 2015


Kerajaan negeri bersedia melaksanakan projek fasa kedua Taman Tema Air di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu selepas melihat sambutan pengunjung di luar jangkaan sepanjang tempoh dua minggu pembukaannya, baru-baru ini.


Dalam tempoh itu, hampir 11,000 pengunjung tempatan mahupun luar Terengganu telah mengunjungi taman tema di Pulau Poh dengan perolehan pendapatan kira-kira RM242,000.

Hasil itu berdasarkan RM190,000 bagi kutipan tiket yang dikenakan RM20 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak, cederahati (RM17,000) dan kafetaria pula mampu memperoleh RM35,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata pelbagai pihak mengesa supaya projek kedua taman tema itu dilaksanakan secepat mungkin kerana beranggapan mampu menarik lebih ramai pelancong luar ke Terengganu.

Katanya, projek fasa kedua itu bermungkinan berjalan serentak dengan pembinaan kompleks kastam di Pangkalan Gawi (tanah besar) dan beberapa rangkaian pusat perniagaan utama lain.

“Pada masa ini, kerajaan negeri sedang membina jambatan empat lorong dari Pengkalan Gawi ke Pulau Poh dengan kos lebih RM200 juta yang dijangka siap pada 2016.

“Apabila jambatan itu siap kelak, orang ramai tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan bot seperti sebelum ini untuk ke taman tema.

“Sebanyak 1,000 tempat letak kenderaan turut disediakan bagi memudahkan orang ramai berurusan sama ada di Terminal Jeti Utama, taman tema dan pelbagai lokasi lain,”katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment