Páginas

Tuesday 7 July 2015

Bertenang, Kebenaran Akan Terbukti – Najib

 AUTHOR: FAUZI MOHD 6 JULY 2015

Najib Razak berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran Program Al-Shahadah Al-Ulya Ulul Albab sempena Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Besut, Terengganu. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Dato’ Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau akan berusaha menegakkan kebenaran yang bakal dibuktikan kelak ketika serangan terhadap kepemimpinannya yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus memuncak dari dalam dan luar negara.


Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak bimbang dengan pelbagai dakwaan tidak berasas yang dilemparkan itu dan mengulangi pendiriannya tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya.

“Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa terharu dan berterima kasih dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk daripada Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr. Haron Din.


Haron menyatakan adalah tidak masuk akal Perdana Menteri akan menyalahgunakan wang rakyat ratusan juta ringgit dengan memasukkan dalam akaun peribadinya sebagaimana yang didakwa Wall Street Journal (WSJ).

Menurut Najib, sememangnya tidak masuk akal beliau tergamak berbuat demikian sehingga sanggup mengkhianati rakyat.

“Saya ucap terima kasih kepada sokongan banyak pihak dalam kalangan pemimpin UMNO dan saya juga ucap terima kasih kepada seorang pemimpin PAS yang membuat kenyataan baik terhadap saya.

“Dato’ Haron Din kata adalah tak masuk akal PM (Perdana Menteri) ‘songlap’ duit. Memang tak masuk akal dan sebagai seorang PM, saya takkan khianati rakyat dari dulu sampai sekarang,” katanya.


Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran Program Al-Shahadah Al-Ulya Ulul Albab sempena Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman; isterinya, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II yang juga Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh serta isteri, To’ Puan Seri Che Kamariah Zakaria dan Ketua UMNO bahagian Besut, Nawi Mohamad.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment