Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata dua pelajar dan guru berkenaan terpilih mewakili negara menerusi projek ‘Student On Ice 2015 Artic Expedition’ yang dianjurkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (SMARF) serta Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Dua pelajar berkenaan ialah Nurul Izzaidah Zulkifle, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan (SMKTAI) dan Ahmad Amirul Farhan Zulkifli, 17, dari SMK Agama Sheikh Abdul Malek serta guru, Roszita Mat Zin dari SMKTAI.
“Ekspedisi ini secara keseluruhannya melibatkan empat pelajar dan dua guru yang mana mereka telah menjalani ujian saringan dan peperiksaan bahasa Inggeris dan Sains sebelum terpilih. Terengganu menghantar tiga wakil dan saya difahamkan, tiga lagi terpilih ialah dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Mereka akan ke Antartika selama dua minggu dan akan menjalankan penyelidikan berkaitan ekosistem, termasuk mengkaji iklim dan apabila pulang nanti, mereka akan membentangkan hasil kajian dan menjadi ‘duta kecil’ dan berkongsi pengalaman serta hasil kajian mereka di sekolah-sekolah,” katanya semalam.
Shafruddin berkata kos perbelanjaan peserta dari negeri ini melibatkan kira-kira RM50,000 seorang, dan ditanggung oleh SMARF.
“Ekspedisi ini sememangnya akan menguji ketahanan mental dan fizikal mereka dengan cuaca yang sangat sejuk dan pelajar dari negeri ini telah bersedia, yang mana mereka telah menjalani latihan fizikal.
“Pemilihan dua pelajar dan seorang guru ini juga adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri bagi melahirkan saintis Islam muda dan memang bertepatan dengan ‘Terengganu Negeri Anjung Ilmu’,” katanya.
Untuk rekod ‘Student on Ice’ ditubuhkan pada 2000 untuk mendidik generasi muda dunia tentang kepentingan rantau Polar serta menyokong pertumbuhan dan sebagai inisiatif yang menyumbang ke arah pengekalan global.
Sementara objektif SMARF termasuklah memajukan kebolehan saintis muda dan menyebarluaskan maklumat kajian Polar kepada masyarakat.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment