Páginas

Tuesday 7 July 2015

Ucapan Semangat MB Terengganu!

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 7 JULY 2015


Petikan Ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran Program Al-Shahadah Al-Ulya Ulul Albab sempena Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri.


“Biar badai gelombang merempuh pantai urus tadbir negara, biar guruh fitnah liar berdentum menggegar jiwa, langkah kami tidak akan goyah. Kita bersedia berada di barisan hadapan. Mempertahankan kepimpinan tiada kompromi bagi kami. Resah hati rakyat kita utamakan. Bukan sekadar memberi sokongan malah kita rela mendokong aspirasi yang diberi.

Malah makin kuat asakan dan cabaran, bertambah pula kukuh tapak kekuda langkah pahlawan. Kita orang Melayu semangat bertuan sangat tinggi. Pantang diusik pantang dicabar, kita akan menerjah tidak terperi.

Langkah kita, langkah bermisi. Pegangan kita sepenuh hati, slogan kita DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT terpahat kukuh jauh di lubuk hati, berubah arah tidak sekali. Inilah yang kita telah sepakati, setiap hari tanpa henti.

Dato’ Seri, ini negara kita tempat anak cucu berteduh. Ini bumi kita tempat anak cucu bermandi peluh menabur bakti. Tidak semudah itu orang di luar sana mencalar maruah. Sedikit tercalar kepimpinan dan rakyat, kita akan menerpa menyanggah dengan gagah, malah sanggup bermandi darah.

Kita pasti bingkas berdiri walaupun berkali-kali rebah. Inilah semangat perkasa warisan pahlawan Terengganu silam yang telah terpahat kukuh dalam lipatan sejarah.

Perjuangan orang Melayu bukan alang kepalang, perjuangan kita berteraskan amalan dan pesan orang-orang tua. 

Dalam perjuangan jauh sekali berputih mata, biarlah kita berputih tulang. Andainya patah sayap kita tetap bertongkatkan paruh.

Ini semangat kita, ini janji kita. Tekad kita kini bukan musim berbalah. Jangan jadi sokong membawa rebah. Bimbang nanti semua menerima padah.

Biarlah kita tidak punya keris Taming Sari. Biarlah kita tidak miliki Pendekar Panji Semerang tetapi rakyat ‘Terengganu Kita’ miliki semangat GELOMBANG BIRU dan TRANSFORMASI TERENGGANU BAHARU yang terus membara untuk mendepani halangan serta cabaran yang tiba. InsyaAllah kepada Allah kita menadah” 

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment