Páginas

Monday, 13 July 2015

Nenek Rasis : Pengajaran Berguna Buat Guan Eng Agar Tidak Angkuh Dan Celupar

Oleh: Azlina Rosdy

NIBONG TEBAL, 8 Julai – Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim menyifatkan kekalahan Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng di dalam kes saman Ketua Pembangkang Negeri itu, Datuk Jahara Hamid sebagai satu pengajaran kepada semua pihak agar jangan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.


Jelasnya, kekalahan tersebut juga seharusnya memberi pengajaran kepada Guan Eng selaku Ketua Menteri agar lebih menghormati serta jangan memandang rendah kepada orang lain.

“Inilah akibatnya kalau bermulut lancang dan fikir diri kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Keputusan mahkamah ini juga merupakan satu pembelaan kepada semua Adun Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.

“Kita tahu, Adun BN sering diperlekehkan di negeri ini maka kemenangan ini adalah pembelaan maruah Adun BN,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau, pemimpin pembangkang memang terkenal dengan sikap suka menghina dan mencela orang lain terutamanya pemimpin daripada BN. Namun dek kerana sikap lembut hati, celaan demi celaan didiamkan sahaja.

“Pemuda berharap, kemenangan ini akan dijadikan contoh kepada pemimpin BN yang lain. Kita tidak perlu lagi memberi muka kepada pembangkang yang sering memijak maruah kita.

“Sudah sampai masa kita bertindak dan keluar daripada sifat mengalah dan berdiam diri,” katanya.

Lim Guan Eng diarah membayar sebanyak RM500,000 kepada Jahara sebagai ganti rugi kerana menggelar beliau sebagai nenek rasis ketika mengadakan sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 10 Disember 2013.

Gelaran itu dibuat Guan Eng kerana Jahara dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Nordin Hassan yang membuat keputusan itu turut mengarahkan Guan Eng membayar kos guaman sebanyak RM40,000 berserta faedah sebanyak lima peratus.

– MediaUMNO

No comments:

Post a Comment