Páginas

Sunday, 6 December 2015

Cadangan PAS Supaya Hapus Dana Bakti Remaja, Dana Raya Ditolak

AUTHOR: SURIATI ALI 5 DECEMBER 2015


Kerajaan negeri akan tetap meneruskan pemberian Dana Bakti Remaja dan Dana Raya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM72 juta pada tahun depan kerana ia memberi impak ekonomi yang besar dalam negeri.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penerima dana berkenaan jarang membelanjakan wang itu di luar Terengganu sebaliknya ia akan digunakan untuk memberi barangan keperluan Aidilfitri di sekitar pekan berdekatan kediaman mereka.

Katanya, penerima akan membelanjakan wang diterima untuk membeli pakaian, kuih raya dan keperluan dapur yang lain yang mana pengaliran wang dalam negeri ini adalah sangat positif untuk peniaga di Terengganu.

“Maklum balas yang diterima dari penerima dana juga sangat positif di mana mereka mengakui pemberian dana ini sangat membantu mereka ketika membuat persediaan menyambut Aidilfitri saban tahun.

“Jika kita hapuskan dana ini dan digantikan dengan projek lain, berapa ramai sangat rakyat yang akan menerima manfaatnya secara langsung dibandingkan dengan pengagihan dana ini,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri, Khamis lalu.

Terdahulu, dalam sesi perbahasan, Satiful Bahari Mamat (PAS-Paka) mencadangkan agar kerajaan negeri menghapuskan pemberian dana itu pada tahun depan, sebaliknya digantikan dengan projek pembangunan kekal yang juga bermanfaat kepada rakyat seperti sekolah.

Dalam pembentangan Bajet 2016 pada Isnin, Ahmad Razif mengumumkan peruntukkan sebanyak RM50 juta untuk bantuan Dana Raya yang bakal memberi manfaat kepada 200,000 keluarga miskin dan berpendapatan rendah manakala peruntukan RM22 juta lagi bakal dimanfaatkan oleh kira-kira 100,000 belia bujang menerusi program Dana Bakti Remaja.

Agihan Dana Raya melibatkan kategori keluarga miskin yang akan menerima RM400. Empat lagi kategori iaitu warga emas, orang kelainan upaya, orang bujang berusia lebih 40 tahun dan ibu atau bapa tunggal menerima dana sebanyak RM300.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment