Páginas

Monday 28 December 2015

Bauksit: Terengganu Hantar Surat Bantahan Kepada Pahang

AUTHOR: FAUZI MOHD 27 DECEMBER 2015


Kerajaan Terengganu akan menghantar surat bantahan kepada Kerajaan Pahang berhubung penggunaan jalan raya di negeri ini bagi aktiviti pemindahan bauksit.


Sehingga kini, jalan Felda Neram di Kemaman sepanjang 5 kilometer digunakan syarikat pelombong bauksit di Pahang bagi mengangkut galian itu dari Bukit Goh ke Pelabuhan Gebeng di Kuantan.

Terengganu mempertikai surat Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang bertarikh 5 November 2015 yang membenarkan lori-lori mengangkut bauksit melalui jalan Felda Neram menggunakan ‘Mining Ore Licence’ (MOL) atas nama kerabat-kerabat raja di Pahang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, rakyat Terengganu menanggung derita apabila berlaku kerosakan jalan raya yang teruk dan pencemaran alam sekitar yang begitu luar biasa.

“Saya juga mahu PTG Terengganu supaya menghantar surat bantahan kepada PTG Pahang yang mengeluarkan surat membenarkan lori-lori bauksit melalui jalan di Felda Neram,” katanya kepada media selepas lawatan ke kawasan pencerobohan bauksit di perkarangan SMK Felda Neram I, Kemaman hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Ir. Rosli Othman; ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar; ADUN Chukai, Hanafiah Mat; Pegawai Daerah Kemaman, Dato’ Mohd Rozali Salleh dan Timbalan Pengarah PTG Negeri, Johan Ibrahim.

Menurut rekod yang dikeluarkan PTG Negeri, jabatan itu telah pernah meluluskan permohonan melombong bauksit di Terengganu. Namun, aktiviti perlombongan bauksit secara haram dikesan berlaku di Perasing dan Jabur.

Hasil kerjasama PTG, Pejabat Daerah Kemaman, Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), sebanyak tujuh tangkapan telah dibuat di mana lima kompaun telah dikeluarkan di bawah Enakmen Mineral Terengganu 2002.

Selain itu, Polis mengeluarkan 667 saman kepada lori-lori bauksit sehingga November 2015.

SPAD telah memeriksa 1,365 buah lori dan 258 daripada jumlah itu dikenakan tindfakan mahkamah.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri yang memiliki Konsortium Perkapalan Kemaman Sdn. Bhd. melalui EPIC Berhad dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi menghentikan operasi mengeksport bauksit di Pelabuhan Kemaman.

“Saya nak mereka dapatkan nasihat undang-undang supaya aktiviti eksport ini dapat dihentikan segera dan kalau boleh esok pun kami nak tutup aktiviti bauksit melalui pelabuhan ini sebab ia menyusahkan banyak pihak terutamanya penduduk di daerah ini,” tegas beliau.

Untuk rekod, Terengganu mempunyai 4,020.9 hektar tanah yang mengandungi bauksit di sekitar Perasing, Jabur dan Neram di Kemaman.

Daripada jumlah itu, 1,138 hektar milik syarikat Sime Darby; 248.9 hektar milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu; 803.7 hektar milik kerajaan dan selebihnya 1,830 hektar milik persendirian.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment