Presiden UMNO itu yang membuka pintu silaturahim kepada para “penentangnya” pada akhir Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini, bagaimanapun menegaskan bahawa jika tawaran itu ditolak, mereka bukan lagi menentangnya atas sifat peribadi tetapi menolak kemahuan para perwakilan UMNO.
“Saya Najib Razak sebagai Presiden UMNO memilih untuk berjiwa besar untuk membuka pintu silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO,” katanya diikuti dengan sorakan seisi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO.
“Namun dengan tegas saya mahu menyatakan jika seandainya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan, … ini bukan lagi soal peribadi.
IMG_9282e“Mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak Presiden parti, bahkan ternyata mereka tolak untuk mencari titik perdamaian dan menolak keputusan syura parti dan jamaah UMNO ini,” katanya.
Najib, yang juga Perdana Menteri mengingatkan para anggota parti bahawa pertelagahan sesama sendiri tidak akan menguntungkan UMNO.
“Apa guna kita bermusuh, berpatah arang dan berkerat rotan. Menang jadi arang, kalah jadi abu, nanti orang lain mendapat untung,” katanya.
Perdana Menteri mengulangi dengan tegas bahawa beliau tidak sekali-kali akan menyerah kalah dan tidak akan berundur daripada perjuangan UMNO.
Sebelum kembali ke tempat duduknya, Najib bersalaman dengan barisan pimpinan UMNO di atas pentas termasuklah pengkritik beliau Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan aksi itu telah menarik tumpuan para perwakilan serta lensa kemera media.
Ucapan penggulungan, pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2015 itu, yang dinanti-nantikan oleh para perwakilan, malah rakyat seluruh negara, dimulakan dengan peringatan Najib kepada para anggota UMNO tentang taat dan setia kepada pemimpin dan adab dalam membuat teguran kepada pemimpin.
Perdana Menteri berkata teguran itu perlu berpandukan kepada dua pendekatan iaitu adab Melayu yang penuh ketertiban dan kaedah Islam yang mengingatkan mereka supaya menyelidiki maklumat yang diterima supaya tidak timbul fitnah.
“Cara orang Melayu bersopan, tertib, kalau nak mengata pun dalam sindiran, dia tak bantai tegak-tegak, tak lutu, tak tibai, tak balun.
“..manakala agama kita mengajar kita untuk saling percayaa mempercayai dan mesti ada roh dan jiwa Islam,” katanya.
Perdana Menteri berkata menurut Islam, sebarang perkhabaran tidak boleh diterima bulat-bulat, sebaliknya perlu diselidik, disiasat dan diteliti supaya tidak terjadi fitnah menfitnah, contohnya dalam perkara 1MDB yang menyebarkan tuduhan tanpa bukti.
Bahaya fitnah yang dahsyat ialah ia boleh membawa kepada perbuatan berbunuh-bunuhan, katanya.
Najib mengambil contoh sejarah kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang berpunca daripada permusuhan dan masalah dalaman, begitu juga dengan keruntuhan Empayar Islam Uthmaniyah.
“UMNO ini satu institusi politik tempat orang Melayu berteduh, bergantung harap, perlindungan cucu-cicit yang menentukan kegemilangan bangsa Melayu.
“Sebab itu kalau tak ada disiplin, tiada ketaatan dan kesetiaan, UMNO juga boleh rebah,” katanya.
Meminjam kata-kata pujangga ulung nusantara HAMKA, Najib mengingatkan para anggota UMNO supaya memilih jalan tengah dalam mengharungi kehidupan.
HAMKA pernah berkata “hidup ini adalah di antara pertengahan antara pahit dan manis. Jika pahit selalu kita merasa rawan (sedih), jika manis selalu kita merasa bosan.”
UmnoOnline
No comments:
Post a Comment