Páginas

Wednesday 23 December 2015

Tingkatkan Aspek Keselamatan Kawasan Perkelahan Air Terjun Belukar Bukit

AUTHOR: MASTURA JAMALDIN 22 DECEMBER 2015


Kerajaan negeri tidak berhasrat menutup kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu sebaliknya mencari kaedah terbaik bagi memastikan aspek keselamatan pengunjung di kawasan itu sentiasa dititikberatkan dan menjadi keutamaan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, semua pihak yang terlibat termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Daerah Hulu Terengganu telah diarahkan untuk melaksanakan perkara itu.

Menurutnya arahan sementara juga telah dikeluarkan mengenai penutupan semua kawasan rekreasi sehingga bulan Mac depan kerana tidak mahu tragedi sama berulang.

“Pihak berkaitan akan memperbanyakkan papan tanda amaran di kawasan rekreasi tersebut seperti yang dilakukan di kawasan perkelahan Sekayu, Hulu Terengganu.

”Pejabat Perhutanan turut diarah mengenal pasti kawasan-kawasan tertentu di situ yang boleh diberi kebenaran untuk mandi dan aktiviti riadah air, selain melantik pasukan khas yang boleh memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan sementara menunggu pihak penyelamat datang,”katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika melawat kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, kelmarin  yang mengorbankan lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan,akibat lemas selepas dilarikan arus deras ketika mandi-manda di kawasan berkenaan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Ajil Ghazali Taib dan Adun Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya, dia merasakan kawasan rekreasi ini sangat berpotensi tinggi untuk di naik taraf sebagai satu lagi pusat pelancongan.

“Apa yang mustahak kita nak beri keyakinan semula terutama kepada pelancong luar bahawa di Terengganu kawasan pelancongan adalah selamat untuk di kunjungi.

“Saya sudah minta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib bersama pihak terlibat serta Exco Pelancongan untuk kita mencari kaedah terbaik bagi menjadikan tempat ini sebagai kawasan rekreasi selamat,” katanya.

Dalam masa sama,Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri mempunyai dua pilihan termasuk akan mempertimbangkan tawaran mana-mana pihak swasta yang berminat bagi pembangunan kawasan tersebut.

“Air Terjun Belukar Bukit sebelum ini diselia Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Betong dan JKKK Kampung Belukar Bukit di bawah penguasaan Majlis Daerah Hulu Terengganu,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment