Páginas

Wednesday 2 December 2015

Sidang DUN : IADA Ketara Mampu Tampung 47 Peratus Keperluan Beras

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 1 DECEMBER 2015


Penanaman padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) yang merangkumi Besut dan Setiu mampu menampung sehingga 47 peratus keperluan beras di Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad berkata, hasil itu mampu meningkat jika diperluaskan kepada fasa seterusnya.

“Yang Berhormat Jabi ada memohon untuk perluaskan KETARA Fasa 2. Dengan keluasan 10,000 hektar, Terengganu mampu menampung kegunaan beras sehingga 77 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang DUN ketika menjawab soalan tambahan dari Hilmi Harun (PAS-Manir) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sebelum itu, Nawi berkata, pembangunan Empangan Paya Peda di Hulu Besut dengan kos keseluruhan bernilai RM440 juta telahpun siap sepenuhnya.

Katanya, selain itu, Kerajaan Pusat turut meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi menaik taraf kemudahan sistem pengairannya.

“Bermula tahun hadapan, kerja naik taraf kemudahan sistem perairan akan dimulakan dengan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat ini,” katanya.

Empangan Paya Peda dijangka dapat menakung hujan di sekitar 7,500 hektar kawasan tadahan ke dalam kawasan takungannya yang mempunyai keluasan 1,200 hektar itu.

Malah seramai 2,700 petani di Besut dan Setiu akan dapat limpahan bagi mengusahakan seluas 9,000 hektar tambahan kawasan padi berbanding hanya 5,323 hektar sahaja ketika ini.

Projek pembinaan yang dimulakan pada 2010 dan sepatutnya siap pada 30 November 2013 tetapi terlewat selama 1 tahun 4 bulan daripada jadual asalnya, bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut.

Ia merupakan takungan air yang terbesar di daerah itu bagi dimanfaatkan bukan sahaja untuk tanaman padi tetapi sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, kegiatan industri pelancongan di samping mengatasi masalah banjir.

Empangan itu yang mampu menakung 200 juta meter padu air itu mampu menakung antara 15 hingga 20 peratus air hujan yang turun di musim tengkujuh kelak bagi mengelak berlakunya banjir.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment