Páginas

Friday 18 December 2015

Mara Digital Tawar Harga Barangan ICT Lebih Murah

AUTHOR: FAUZI MOHD 17 DECEMBER 2015

Mara Digital mula menarik pengunjung di Aras 3, Menara Mara, Kuala Lumpur. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Penubuhan Mara Digital menunjukkan usaha kerajaan mewujudkan pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mampu menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada biasa.


Peniaga-peniaga menawarkan harga berpatutan selain menghimpunkan usahawan bumiputera yang menawarkan pelbagai gajet bagi memenuhi kehendak pasaran semasa.

Pengurus Bahagian Teknologi Maklumat Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (NARSCO) selaku peniaga di sini, Siti Nurbaya Hussein, 48, berkata, usaha yang dilakukan kerajaan itu akan memberi peluang kepada ramai pembeli mendapatkan barangan ICT secara mampu milik.

“Persaingan sihat boleh dilihat di sini kerana kami akan berusaha sedaya upaya menonjolkan potensi supaya perniagaan yang dijalankan terus maju.

“Sebelum ini NERSCO lebih memfokuskan kepada bidang pertanian, tetapi kali ini kami mengambil risiko untuk mengkomersialkan bidang ICT dengan melaksanakan perniagaan secara runcit,” katanya.

Mara Digital yang dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini merupakan projek pembangunan komersial industri ICT bagi golongan bumiputera yang kesemuanya berada di bawah satu bumbung.

Sementara itu, Pembantu Jualan Lenovo, Muhamad Arif Abdul Gani, 24, berkata, peluang yang diberikan ini menggalakkan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera dalam bidang ICT yang ketika ini lebih banyak dimonopoli oleh bangsa lain.

Katanya, penubuhan pusat ICT itu dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda, sekali gus membolehkan mereka mempunyai pengetahuan luas dalam bidang tersebut.

Seorang peniaga, Ahmad Kauthar Mat Zain, 25, juga berpendapat bahawa Mara Digital bukan sahaja dapat membantu usahawan bumiputera dalam industri itu tetapi juga dapat mengelakkan daripada kes penipuan gajet terus berleluasa.

“Produk dan gajet yang kami jual mengikut kepada SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan pembekal dan pantauan akan kerap dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Ini menjadikan harga barangan yang dijual di sini jauh lebih rendah daripada pasaran luar, selain para pembeli boleh mendapatkan pelbagai produk tanpa keraguan,” katanya.

Sementara itu, bagi Jurutera Fiber City, Nalique Hazwan Zainol, 30, syarikat mereka bertanggungjawab membekalkan Internet supaya peniaga di aras itu dapat menjalankan perniagaan dengan baik dan lancar.

“Dengan tanggungjawab yang diberikan, syarikat kami membuat keputusan untuk membuka lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada belia untuk menjadi sebahagian daripada kami,” katanya.

“Saya mengharapkan lebih ramai belia merebut peluang ini kerana platform ini sangat memberi manfaat ketika negara sedang bergelut dengan masalah ekonomi,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment