Páginas

Wednesday 16 December 2015

Pelajar Cemerlang PT3 Turut Terima RM500

AUTHOR: SURIATI ALI 16 DECEMBER 2015

Ahmad Razif selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri di wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto Hasmizi Hamid
*****
Seramai 699 pelajar Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2015 yang memperoleh semua A turut dihadiahkan RM500 dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) .


Insentif RM500 itu sebagaimana yang diterima pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR) 2015 sebelum ini.

Menteri Besar Dato’Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, berdasarkan jumlah itu, sebanyak RM349,500 diperuntukan dan akan diagihkan pada minggu depan di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Nerus.

Katanya, majlis sama turut meraikan sekolah yang disenaraikan cemerlang dan anugerah yang disampaikan berdasarkan kategori sekolah harian, lonjakan sekolah, sekolah imtiaz dan Sekolah Berasrama Penuh.

“Insentif kecemerlangan yang bakal diagihkan itu sebagai hadiah kepada 699 pelajar yang meraih kejayaan berganda berbanding 233 pelajar semua A tahun lalu.

“Kerajaan juga akan memantau kecemerlangan pelajar di universiti bagi memastikan kesinambungan kejayaan yang diperoleh hari ini berterusan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri di wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Razif memberitahu, Bantuan Dana Persekolahan membabitkan peruntukan RM10 juta kepada 100,000 pelajar sekolah yang berkelayakan akan diagihkan secara berperingkat-peringkat mulai minggu depan.

“Kadar itu dibayar secara wang tunai, RM100 untuk setiap keluarga yang mempunyai seorang anak bersekolah atau maksimum RM200 bagi keluarga yang mempunyai lebih dari dua anak bersekolah.

“Kaedah pembayaran bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing sama ada melalui wakil rakyat, pegawai pembangunan DUN atau Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK),” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment