Páginas

Monday 14 December 2015

PAU2015 : Perjuangan UMNO Tidak Terhenti Setakat Wawasan 2020

AUTHOR: FAUZI MOHD 10 DECEMBER 2015


Perjuangan UMNO tidak akan terhenti setakat Wawasan 2020, malah akan diteruskan sehingga negara mencapai kedudukan 10 negara terbaik paling kompetitif dunia menjelang 2030, kata Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak.


Katanya, terkini, dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh Forum Ekonomi Dunia, kedudukan Malaysia telah melonjak kepada kedudukan 18 daripada 144 ekonomi utama dunia.

“Malah, antara contoh yang boleh dibanggakan, seperti pembinaan Pelantar Gas di Laut Caspian, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedua di Istanbul, pelaburan Shale Gas yang merupakan Pelaburan Langsung Asing terbesar di Kanada, adalah hasil kendalian anak-anak bangsa kita,” kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Dewan Merdeka, PWTC, hari ini.

Najib, yang juga Perdana Menteri, turut berkata pencapaian IHH Healthcare Bhd sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesihatan kedua terbesar dunia; dan penyelenggara dan pengendali fasiliti stesyen Mekah Metro juga kejayaan anak-anak bangsa dan segalanya ini adalah hasil perjuangan UMNO.

“Daripada hanya sebuah perdesaan dan perkampungan, tiada siapa dapat menjangka, kini kita telah tumbuh dan muncul menjadi sebuah Bintang Timur yang bergemerlapan, bukan sahaja di rantau ini, bahkan di seantero dunia,” kata Najib.

UMNO juga, yang menunjangi Barisan Nasional sebagai Kerajaan yang mentadbir sejak puluhan tahun, telah membuktikan kejaguhannya dalam membangunkan Malaysia tercinta ini, tegas Najib.

Justeru, beliau mempersoalkan mana mungkin orang boleh mengatakan Malaysia sebagai ‘failed state’ atau pengemis di bawah kepimpinan beliau.

Menyentuh mengenai kejatuhan nilai mata wang, Najib berkata ia bukanlah kerana kegagalan mengurus ekonomi negara, tetapi disebabkan oleh faktor luaran.

“Antaranya, kejatuhan harga minyak dan komoditi, pengucupan kadar pertumbuhan ekonomi negara China serta kadar faedah di Amerika Syarikat yang dijangka naik.

“Semuanya ini, diakui dunia sebagai faktor luaran sebagai punca bukan sahaja terhadap Malaysia, malah turut terkesan kepada kebanyakan negara ekonomi yang sedang membangun,” katanya.

Malah, negara seperti New Zealand dan Australia pun turut mengalami penyusutan yang teruk.

Sementara itu, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang sekali pun tidak popular, merupakan tindakan tepat, yang melindungi rakyat daripada ditimpa kesusahan yang lebih berat.

“Jika sebelum tahun 2015, 31 peratus daripada pendapatan negara datangnya daripada hasil minyak, namun, akibat penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal rendah, hasil kerajaan dijangka berkurang sekitar RM30 bilion,” kata Najib.

Jika ini berlaku, badan-badan penarafan terkemuka antarabangsa seperti Standard & Poor’s dan Fitch Ratings, akan menurunkan taraf penarafan kredit negara.

Ini akan menyebabkan kadar faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan melonjak naik.

Implikasinya, menyebabkan ekonomi negara kita akan merudum, pelaburan akan terjejas, peluang pekerjaan pula akan terhakis.

“Dalam konteks ini, tidak dapat dibayangkan, seandainya pihak Kerajaan tidak mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal Kerajaan akan mencatat defisit sebanyak RM10.6 bilion,” katanya lagi.

Ia juga akan melonjakkan defisit negara daripada 3.1 peratus kepada 4.8 peratus pada tahun pertama dan mungkin akan jauh lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment