Páginas

Thursday, 31 December 2015

Perutusan Khas MB Sempena Tahun Baru 2016

AUTHOR: FAUZI MOHD 31 DECEMBER 2015


Alhamdulillah, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat saya menyampaikan perutusan sempena Sambutan Tahun Baru 2016. Semoga melalui coretan ini kita dapat sama-sama membuat sebuah refleksi demi menjana sebuah perjalanan pembangunan negeri di tahun-tahun yang mendatang.


Masa bergerak deras menyelusuri arena perubahan, maka keperluan mendepani masa depan juga turut berubah. Demi masa lalu yang telah menjadi sejarah, kita jadikan sebagai pemacu untuk menyediakan kesejahteraan rakyat.

“Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datang kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sihatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati.” (HR al-Hakim).

Peringatan ini sungguh besar maknanya, betapa sedikit kealpaaan dalam merancang akan membuahkan hasil yang pincang. Mudaratnya dibimbangi berbekas melewati tempoh yang lama. Sebab itu setiap perancangan pembangunan kita bagi pihak kerajaan melakukan dengan cermat serta berhati-hati. Pendekatan inklusif kita dahulukan.

2015  Dalam Kenangan – 2016 Meniti Harapan

Tahun 2015 yang akan melabuhkan tirai perjalanan tidak berapa lama lagi, telah banyak menukilkan pengajian dan pembelajaran untuk bertindak dengan langkah yang matang.  Alhamdulillah kami barisan kepimpinan di semua peringkat menadah syukur kehadrat Illahi kerana dengan sedaya kudrat yang ada kami cuba memenuhi impian rakyat.

Namun pada masa yang sama kami juga insan biasa akur dengan segala kekurangan yang ada. In sya Allah dengan tibanya tahun baharu 2016, kita berazam memulakan susunan gerak kerja dengan semangat yang baharu. Harapan kita walau pun perkembangan ekonomi negeri agak suram, namun kesejahteraan rakyat pasti dipelihara. Untuk maksud itu kesepakatan hati dan jiwa sesama kita mesti bertaut kukuh.

Perubahan sikap yang disebut oleh Prof. Dr. Hamka sebagai satu revolusi jiwa yang paling  hebat dalam kehidupan manusia. Namun kemenjadiannya tidak berlaku dengan mudah, perlu ada pengorbanan yang besar. Menjadi lumrah alam, laba yang besar datangnya daripada pelaburan yang besar.

Panduan inilah dijadikan sandaran dalam pentadbiran saya dan barisan kepimpinan di segenap lapisan. Biarlah apa sahaja yang berlaku pada tahun 2016 lebih baik daripada tahun sebelumnya. Inilah tuntutan dalam agama Islam yang mesti disandari.

Menyingkap Memori Sejarah

Lembaran tahun baharu 2015 bagi negeri Terengganu dimulai dengan keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2014 dengan gred purata negeri 2.20 terbaik dalam tempoh 4 tahun. Sementara penutup tahun 2015 dengan Majlis Penganugerahan Sarjana kepada pelajar anak-anak Terengganu yang berjaya.  Ini petanda hebat, kerana pencapaian cemerlang sektor pendidikan menggambarkan budaya ilmu subur di Terengganu.

Terengganu Negeri Anjung Ilmu gahnya bukan sekadar nama tetapi hasilnya menggamit memori indah segenap penghuni daerah.  Sebenarnya sejarah kejayaan yang kita capai begitu melata dan luas melalui kesungguhan Transformasi Ekonomi, Transformasi politik dan Transformasi Kerajaan.Terima kasih saya ucapkan kepada semua penyumbang yang tanpa mengeluh dan kecewa memahat sejarah memperkukuh tamadun.

Lumrah kehidupan, negeri kita juga tidak sunyi dengan beberapa peristiwa muram dan sedih. Sebagai umat Islam kita akur akan ketentuan Allah SWT perancang yang Maha Bijaksana. Lalu amat elok kalau direnungi kata-kata ‘jangan dikesali apa yang tidak dapat dinikmati, bersyukurlah dengan apa yang dimiliki’. Sesungguhnya Allah akan menggandakan kemewahan bila kita akur dan bersyukur.

Semuanya ini mendewasakan kita untuk merencana pembinaan negeri yang aman sejahtera. Betapa hidup ini adalah bagaikan pinjaman sementara, sampai waktunya kita akan dijemput kembali bertemu Yang Maha Esa. Selagi ada upaya, kami bersama barisan kepimpinan akan terus menggalas amanah sebagai satu kewajipan. Kita berlapang dada jika ada yang ingin membantu.

Berjiwa Besar dan Berlapang Dada

Sebagai peneraju pentadbiran negeri saya mesti ‘Berjiwa Besar’ yang tidak sesekali lupa mencari di mana akar kita. Menjadi pohon tempat naungan berteduh, akarnya mesti dijaga supaya sentiasa subur menjalar. Dalam situasi beginilah saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang turut membantu menjaga kesuburan anugerah Maha Pencipta.

KenyataanTan Sri Dr. Ali Hamsa Ketua Setiausaha Negara, menggesa penjawat awam mengamalkan konsep CARI dan BANTU merupakan suatu transformasi dalam merancakkan membina pentadbiran yang mesra rakyat. Di mata rakyat penjawat awam adalah mata telinga kerajaan. Maka apabila penjawat awam dan rakyat bertaut rasa sehati sejiwa, sudah tentu akan membuahkan kemesraan hubungan rakyat dengan kerajaan terjalin erat.

Bagi kerajaan negeri Terengganu, kita sangat menyambut baik pelaksanaan konsep ini. maksud yang sama telah tersirat dalam gagasan pentadbiran negeri melalui Transformasi Terengganu Baharu. Lapan (8) prinsip yang telah digariskan bermatlamatkan memberikan kehidupan aman sentosa.

Transformasi Terengganu Baharu (TTB) Pemacu Pembanguna

‘Mengorak langkah jayakan impian’ baris pertama lirik lagu Transformasi Terengganu Baharu bagai memberi gambaran bergerak sederap merealisasikan harapan rakyat. Melalui lapan (8) prinsip dalamTransformasi Terengganu Baharu semuanya menjuruskan kepada menangani resah hati dan jiwa rakyat. Segala kemudahan yang ada kita gerakkan tanpa mengira jarak kesukaran.

Bagi kita biar kerajaan susah asalkan rakyat tidak menanggung derita. Ada ketika kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular, peritnya tak terkira.  tetapi demi rakyat kami pasukan kepimpinan sanggup menahan duka. Harapan kita biarlah rakyat menikmati keseronokan hidup berkeluarga di bumi merdeka.

Sesungguhnya impian itu indah, tetapi untuk merasainya tidaklah mudah. Namun saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana kerajaan negeri Terengganu memilki barisan kepimpinan yang sentiasa bersama merasai denyut nadi rakyat, para pegawai yang memilki ethos kerja yang tinggi, rakyat yang prihatin serta para sahabat  yang baik budi.

Gandingan inilah yang memberi kekuatan kepada saya. Walau pun haluan ditimpa gelombang tujuh alunan, juga denai berliku dipenuhi ceracak duri racun berbisa, kami bertekad akan tetap berdiri memacu bahtera biar sampai ke pengkalan.

Terima kasih semua. Walau pun corak fikir dimensi berbeza, namun jauh dilubuk hati apa yang digalas mohon mendapat petunjuk daripada Yang Esa. Selamat tinggal tahun 2015, kenangan manis akan disimpan dipustaka impian. Selamat datang tahun 2016 kami menunggu penuh harapan, semoga dipermudahkan segala perjalanan.

Akhir Kalam

Sebagai penutup perutusan sempena Sambutan Tahun Baru 2016, izinkan saya, isteri dan barisan kepimpian kerajaan negeri Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu ke arah pembangunan negeri. Mari kita kekalkan slogan ‘Negeri Cantik Budaya Menarik’ agar menjadi pelengkap kepada promosi PESONA TERENGGANU tahun 2016.

Memang sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari daripada tersalah tutur bicara, tersilap langkah sehingga mungkin ada yang memendam rasa, untuk itu kami rapat sepuluh jari pohon kemaafan. Bila tibanya tahun 2016, marilah kita bergerak bersama lagi dalam acuan kita yang baharu. Kalau pun masih ada yang lama, kita akan pastikan meluncur laju dengan gaya berbeza. Hajat kita menyantuni resah rakyat mendapat redha daripada Allah SWT.

Hanya kepada Allah saya berserah.

Sekian,  Wabillahitaufiq Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

YAB DATO’ SERI AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN

No comments:

Post a Comment